Skip to main content

Sukan

Pirlo tarik diri daripada calon jurulatih Itali

FILE PHOTO: Soccer Football - Serie A - Bologna v Juventus - Stadio Renato Dall'Ara, Bologna, Italy - May 23, 2021 Juventus coach Andrea Pirlo reacts REUTERS/Alberto Lingria//File Photo
Pirlo sebelum ini dilaporkan berada di kedudukan teratas untuk mengambil alih peranan ketua jurulatih Azzurri. - Foto REUTERS
Advertisement

ROM: Bekas bintang bola sepak Itali, Andrea Pirlo, mengumumkan beliau tidak lagi dipertimbangkan untuk mengendalikan skuad kebangsaan Itali selepas berdepan kritikan berhubung hubungannya dengan syarikat pertaruhan Rusia, Fonbet.

Walaupun Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) belum membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikannya, Pirlo sebelum ini dilaporkan berada di kedudukan teratas untuk mengambil alih peranan ketua jurulatih Azzurri.

Bagaimanapun, cadangan pelantikan itu mencetuskan perdebatan di Itali selepas beberapa ahli politik mempersoalkan penglibatan Pirlo sebagai duta global Fonbet sejak Oktober tahun lalu.

Kontroversi itu semakin memuncak apabila beberapa pihak mengaitkan syarikat berkenaan dengan acara sukan yang melibatkan individu yang menyokong tindakan ketenteraan Rusia di Ukraine.

Dalam perkembangan berkaitan, media Itali turut melaporkan dua pegawai kanan FIGC, Paolo Maldini dan Leonardo, mengambil keputusan meletakkan jawatan di tengah-tengah usaha membentuk semula hala tuju pasukan kebangsaan.

Maldini yang baru dilantik sebagai pengarah teknikal FIGC lebih dua minggu lalu, bersama Leonardo sebagai penasihatnya, diberi tanggungjawab mencari jurulatih baharu dan memulihkan prestasi Itali selepas kegagalan berulang kali melayakkan diri ke Piala Dunia.

Ahli politik parti Azione, Carlo Calenda, antara yang lantang mengkritik cadangan pelantikan Pirlo.

"Mana-mana individu yang mempromosikan Rusia selepas 2022 tidak sepatutnya memegang jawatan yang mewakili kepentingan negara," katanya.

Pada Isnin, Pirlo tampil mempertahankan dirinya menerusi satu hantaran di Instagram.

Beliau berkata kerjasama yang dijalinkan ketika membimbing kelab United FC di Dubai hanyalah bersifat komersial dan berkaitan sukan semata-mata.

"Saya berasa dukacita melihat perdebatan yang timbul sejak beberapa hari lalu. Memberikan tafsiran politik terhadap kerjasama profesional itu bermakna mengaitkan saya dengan kepercayaan yang tidak pernah saya nyatakan dan tidak mencerminkan pendirian saya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parlimen Eropah, Pina Picierno, berpendapat bola sepak Itali memerlukan perubahan dari segi budaya, etika dan pengurusan, namun menyifatkan cadangan melantik Pirlo sebagai langkah yang bertentangan dengan usaha tersebut.

Sebaliknya, Pirlo menerima sokongan daripada Duta Rusia ke Itali, Aleksey Paramonov, yang menyifatkan layanan terhadap bekas pemain itu sebagai tidak adil memandangkan sumbangannya kepada sukan dunia dan imej Itali di peringkat antarabangsa.

Tumpuan terhadap hubungan Pirlo dengan Fonbet semakin meningkat selepas beliau menghadiri satu acara anjuran syarikat itu di Moscow tahun lalu bersama bekas rakan sepasukannya, Marco Materazzi.

Acara berkenaan turut menampilkan penyanyi terkenal Rusia yang pro-Kremlin, Shaman, yang secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap tindakan Rusia di Ukraine.

Atlet Ukraine, Vladyslav Heraskevych, sebelum ini turut mengkritik penglibatan Pirlo dalam acara tersebut dan menyifatkan tindakan legenda bola sepak itu sebagai sesuatu yang mengecewakan.

Krisis terbaharu itu berlaku ketika bola sepak Itali sedang berusaha bangkit daripada prestasi kurang memberangsangkan di pentas antarabangsa.

Kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut mencetuskan tekanan besar terhadap FIGC dan membawa kepada peletakan jawatan jurulatih terdahulu, Gennaro Gattuso.

Menurut media tempatan, FIGC kini sedang menilai beberapa calon lain bagi mengisi jawatan berkenaan, termasuk Antonio Conte dan Roberto Mancini, yang pernah membawa Itali menjuarai Kejohanan Euro 2020.

 

Must Watch Video

Advertisement