ISTANBUL: Kejohanan Piala Asia 2027 mungkin ditangguhkan ke 2028 jika perlu susulan perkembangan semasa di rantau itu, menurut Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi yang memetik akhbar tempatan.
"Kami boleh menunggu sehingga akhir November," kata Al Khalifa kepada pemberita di Zurich, menurut laporan akhbar Arab Saudi, Arriyadiyah.
"Situasi di rantau ini berubah dengan sangat pantas, sama ada ke arah yang lebih baik atau sebaliknya, dan kami perlu terus memantau perkembangan semasa.
"Jika kami perlu membuat keputusan, kami akan berbuat demikian. Namun, kami boleh menangguhkan kejohanan itu selama setahun ke 2028 jika perlu," katanya.
Kejohanan itu dijadual bermula di Arab Saudi pada 7 Jan 2027, dengan perlawanan akan berlangsung di Riyadh, Jeddah dan Al Khobar.
Sheikh Salman berkata, AFC tidak tergesa-gesa membuat keputusan dan persiapan kejohanan ketika ini berjalan mengikut jadual.
Awal minggu ini, Liga Bolasepak Arab Saudi menangguhkan tiga perlawanan minggu kesembilan, termasuk pertemuan antara Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo dengan Al Ahli.
Kumpulan Houthi menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, pada 2014, manakala pakatan diketuai Arab Saudi menentang kumpulan itu sejak 2015 sehingga persetujuan gencatan senjata dicapai pada 2022.
Bagaimanapun, gencatan senjata itu gagal bertahan apabila konflik kembali tercetus pada Julai tahun ini.
Selain melancarkan serangan di Yaman, kumpulan Houthi sejak kebelakangan ini turut menyasarkan kemudahan di Arab Saudi, termasuk kemudahan tenaga dan lapangan terbang, mengakibatkan kematian, kecederaan serta kerosakan harta benda.
-- BERNAMA-ANADOLU