Skip to main content

Sukan

Ronaldo digantung 30 hari susulan pertelingkahan dengan jurulatih Portugal

Cristiano Ronaldo dikenakan penggantungan selama 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal pada Isnin selepas meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan susulan pertelingkahan dengan jurulatih Jorge Jesus mengenai peranannya dalam pasukan. - Foto fail/REUTERS
Cristiano Ronaldo dikenakan penggantungan selama 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal pada Isnin selepas meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan susulan pertelingkahan dengan jurulatih Jorge Jesus mengenai peranannya dalam pasukan. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Cristiano Ronaldo digantung 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal selepas pertelingkahan dengan jurulatih Jorge Jesus mengenai peranannya dalam pasukan.
  • Ronaldo turut didenda 255 euro selepas didapati sengaja melakukan kesalahan di bawah Artikel 160(1) peraturan disiplin persekutuan.
  • Presiden Persekutuan menyatakan Ronaldo dialu-alukan kembali ke skuad kebangsaan selepas isu disiplin ini diselesaikan.

LISBON: Cristiano Ronaldo dikenakan penggantungan selama 30 hari oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal pada Isnin selepas meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan susulan pertelingkahan dengan jurulatih Jorge Jesus mengenai peranannya dalam pasukan.

Majlis disiplin persekutuan memaklumkan pertuduhan terhadap penyerang berusia 41 tahun itu dikekalkan sepenuhnya, selain mengenakan denda sebanyak 255 euro (AS$285.83).

Ronaldo meninggalkan kem Portugal di Copenhagen sebelum perlawanan Liga Negara-Negara menentang Denmark awal bulan ini.

Tindakan itu dibuat selepas Ronaldo mendakwa Jesus sebanyak dua kali tidak menepati kata-katanya berhubung peranan beliau dalam pasukan selepas hanya berada di bangku simpanan ketika menentang Norway.

Jesus bagaimanapun menafikan pernah mencapai sebarang persetujuan dengan Ronaldo, namun tidak menutup pintu untuk bintang itu kembali menyertai skuad kebangsaan susulan kemenangan 2-1 Portugal.

Bahagian bukan profesional majlis disiplin mendapati Ronaldo sengaja melakukan kesalahan di bawah Artikel 160(1) peraturan disiplin persekutuan.

Prosiding berhubung perkara itu dibuka pada 9 Oktober berdasarkan fakta yang dilaporkan dua hari sebelumnya.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak memperincikan perlawanan atau aktiviti yang terlibat sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

Ia juga tidak menjelaskan sama ada tempoh penggantungan sementara yang telah dilalui Ronaldo akan diambil kira sebagai sebahagian daripada hukuman 30 hari itu.

Ronaldo kemudian memohon maaf kerana tidak memberikan penghargaan kepada penyokong selepas perlawanan menentang Norway, selain meninggalkan rakan sepasukannya.

Beliau turut menegaskan masih bersedia untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas menjalani sebarang hukuman susulan insiden berkenaan.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca sebelum ini berkata, semua pihak dalam badan induk berkenaan mahu Ronaldo kembali menyertai skuad kebangsaan sebaik sahaja isu tersebut diselesaikan.

Must Watch Video

Advertisement