Skip to main content

Sukan

Ronaldo digantung sementara selepas tinggalkan kem Portugal

Ronaldo digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) selepas badan induk itu membuka prosiding tatatertib berhubung tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan, lapor media tempatan pada Sabtu. - Gambar fail/ Reuters
Ronaldo digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) selepas badan induk itu membuka prosiding tatatertib berhubung tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan, lapor media tempatan pada Sabtu. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

LISBON: Cristiano Ronaldo digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) selepas badan induk itu membuka prosiding tatatertib berhubung tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan, lapor media tempatan pada Sabtu.

Penyerang berusia 41 tahun itu dilaporkan meninggalkan kem Portugal di Copenhagen sebelum aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Denmark minggu lalu susulan pertelingkahan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.

Ronaldo yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Portugal menentang Norway, menuduh Jesus memungkiri janji sebanyak dua kali berhubung peranannya dalam pasukan.

Bagaimanapun, selepas kemenangan 2-1 Portugal ke atas Denmark, Jesus menafikan pernah membuat sebarang perjanjian dengan pemain berkenaan, namun tidak menutup pintu untuk kepulangannya ke skuad kebangsaan.

Menurut akhbar Portugal, A Bola, FPF mengesahkan prosiding tatatertib telah dimulakan terhadap Ronaldo.

"Tanpa menjejaskan penggantungan pencegahan automatik yang dikenakan sehingga tarikh prosiding bermula, satu penggantungan pencegahan tambahan telah ditetapkan terhadap pemain itu dan kes ini diberikan status segera," menurut kenyataan FPF yang dipetik media berkenaan.

Presiden FPF, Pedro Proenca berkata, semua pihak dalam badan induk bola sepak Portugal itu mahu melihat Ronaldo kembali menyarung jersi kebangsaan sebaik isu tersebut diselesaikan.

"Dalam semangat ketenangan ini, dan selepas berbincang dengan semua pihak yang secara terbuka telah menyatakan hasrat untuk melihat kapten kembali bersama kami, memang wujud keinginan daripada semua pihak.

"Ia termasuk persekutuan, presiden FPF, jurulatih skuad kebangsaan, kapten dan juga pemain-pemain," katanya seperti dipetik A Bola.

Mengulas mengenai prosiding tatatertib itu, Proenca berkata, keputusan selanjutnya bergantung sepenuhnya kepada Jawatankuasa Tatatertib FPF.

"Itu bergantung sepenuhnya kepada Jawatankuasa Tatatertib yang merupakan badan bebas dan mereka akan menjalankan tugas mereka," katanya.

Pada Selasa lalu, Ronaldo memohon maaf kerana gagal menghargai sokongan penyokong selepas perlawanan menentang Norway serta kerana meninggalkan rakan sepasukan.

Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu turut menegaskan beliau kekal bersedia untuk mewakili Portugal selepas menjalani sebarang hukuman yang mungkin dikenakan berhubung insiden tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement