Skip to main content

Sukan

Ronaldo jaring gol, Al-Nassr atasi Neftchi meskipun sepak mula tertangguh sejam

Cristiano Ronaldo melepaskan rembatan ke arah gol ketika Al Nassr menentang Neftchi Fergana dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite di Al Awwal Park, Riyadh, Arab Saudi, 12 Okt 2026. - REUTERS
Cristiano Ronaldo melepaskan rembatan ke arah gol ketika Al Nassr menentang Neftchi Fergana dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite di Al Awwal Park, Riyadh, Arab Saudi, 12 Okt 2026. - REUTERS

Advertisement

RIYADH: Cristiano Ronaldo meledak satu gol ketika Al-Nassr bangkit mengatasi gangguan keselamatan sebelum menewaskan wakil Uzbekistan, Neftchi, 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite pada Isnin.

Perlawanan yang dijadual bermula di Riyadh terpaksa ditangguhkan selama sejam selepas pihak Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan kira-kira 15 minit sebelum sepak mula. 

Riyadh dilaporkan menjadi sasaran serangan peluru berpandu dilancarkan kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Al-Nassr tidak terjejas dengan kelewatan itu apabila membuka jaringan menerusi Angelo pada minit ke-33 hasil rembatan yang terkena pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol.

Ronaldo kemudian menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian. 

Gol itu terhasil selepas hantaran lintang melengkung Sadio Mane dari sebelah kiri disambut Aiman Yahya dengan dada sebelum bola jatuh tepat kepada Ronaldo yang melakukan rembatan deras ke penjuru bawah gawang.

Neftchi merapatkan kedudukan menerusi Alisher Odilov enam minit selepas babak kedua bermula, namun harapan mereka untuk bangkit musnah apabila Ikromjon Alibaev dilayangkan kad merah pada minit ke-65 selepas mengasari Mohamed Simakan.

Tekanan berterusan Al-Nassr akhirnya menghasilkan gol ketiga menerusi jaringan sendiri Anvarjon Gofurov pada minit ke-78 sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan Al-Ahli mencatat kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan wakil Emiriah Arab Bersatu, Al-Wasl, 3-1.

Roger Ibanez meletakkan Al-Ahli di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-20 sebelum Pedro Malheiro menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Dua gol pada babak kedua hasil jaringan Trincao pada minit ke-58 dan Feras Al-Brikan pada minit ke-91 memastikan Al-Ahli mengutip empat mata daripada dua perlawanan pembukaan.

"Kami juga mencipta peluang pada separuh masa pertama, tetapi pada babak kedua kami berjaya menjaringkan gol dan itulah perbezaannya.

"Dari segi fizikal kami sedikit lebih baik dan itu menjadi kunci untuk mengubah corak permainan," kata Trincao.

Sementara itu, Houssine Rahimi menjaringkan dua gol ketika Al-Ain menewaskan Air Force Club 4-1 di Basra, manakala jaringan Hossein Goudarzi pada minit ke-60 memastikan Esteghlal dari Iran menang 2-1 ke atas Al-Gharafa.

Di Tashkent, sepakan penalti saat akhir Dostonbek Khamdamov menyelamatkan Pakhtakor daripada kekalahan apabila seri 1-1 menentang Al-Qadsiah kendalian Brendan Rodgers.

Satu lagi wakil Iran, Tractor, pula diikat seri tanpa jaringan oleh Al-Shamal dari Qatar.

Lapan pasukan terbaik daripada 16 pasukan dalam fasa liga bagi zon Timur dan Barat Asia akan mara ke pusingan kalah mati. – Agensi

Must Watch Video

Advertisement