SPA-FRANCORCHAMPS: George Russell meluahkan kemarahan terhadap Mercedes menerusi komunikasi radio pasukan selepas gagal menamatkan Perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium, sekali gus menjejaskan peluangnya memburu kejuaraan dunia Formula Satu (F1), lapor PA Media/dpa.
Russell kini ketinggalan 50 mata di belakang rakan sepasukannya, Kimi Antonelli, selepas pelumba muda Itali itu meraih kemenangan keenam daripada 10 pusingan yang berlangsung setakat ini.
Perlumbaan Russell berakhir selepas terbabit dalam perlanggaran dengan Lewis Hamilton susulan masalah enjin pada pusingan pertama yang menyebabkan beliau hilang kelebihan dan diasak kelompok pelumba di belakang.
Menerusi komunikasi radio yang tidak disiarkan ketika perlumbaan Ahad, Russell menjerit: "Apa yang berlaku dengan SOC (tahap cas bateri) di laluan lurus?
"Saya langsung tiada kuasa bateri di laluan lurus. Ini tidak boleh diterima. Langsung tidak boleh diterima, sepanjang hujung minggu ini."
Persembahan Russell di Spa-Francorchamps turut terjejas akibat masalah sistem penggunaan kuasa pada jentera Mercedesnya, yang menyumbang kepada catatan masa kelayakan kira-kira setengah saat lebih perlahan berbanding Antonelli.
Pada mulanya, Russell dimaklumkan bahawa masalah itu berpunca daripada gaya pemanduannya, namun teori itu kemudian diketepikan oleh jurutera pasukan yang turut kebingungan.
Russell berkata, beliau "berdoa" agar Mercedes dapat menyelesaikan masalah itu menjelang perlumbaan di Hungary hujung minggu ini, yang juga pusingan terakhir sebelum rehat musim panas.
Beliau turut mengakui kini "sudah lali dengan kekecewaan" selepas berdepan pelbagai masalah mekanikal sepanjang musim ini.
Mengulas kenyataan Russell, ketua pasukan Mercedes Toto Wolff berkata: "Anda perlu faham bahawa seorang pemandu sangat beremosi apabila situasi seperti ini berlaku, tetapi pada masa yang sama, sebagai pemandu Formula Satu, anda adalah sebahagian daripada kelompok elit dan merupakan satu penghormatan untuk memandu bagi Mercedes.
"Saya berharap perasaan itu akan berlalu dan kami akan cuba mengembalikan semula keyakinan serta semangat positif.
"Semua pemandu, atau sekurang-kurangnya yang pernah saya bekerjasama, melalui tempoh sukar dan perkara itu boleh berlaku kepada mana-mana atlet. Anda perlu mencari cara untuk terus bermotivasi dan bangkit semula. George mempunyai caranya sendiri dan saya sememangnya cuba membantunya.
"Saya sudah mengenali George sejak sekian lama. Saya memahami kekecewaannya dan pasukan memberikan sokongan penuh kepadanya."
Mengulas lanjut mengenai masalah enjin Russell, Wolff berkata: "Unit kuasa Formula Satu sangat kompleks, termasuk cara tenaga dipulihkan, digunakan semula serta interaksi dengan pemandu.
"Kami memiliki pakej yang sangat kukuh dan sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah kebolehpercayaan, namun dengan peraturan baharu, perkara seperti ini kadangkala berlaku.
"Bagi George, memang terdapat masalah pada enjin yang telah kami kenal pasti, menyebabkan beliau mempunyai tenaga yang lebih rendah untuk digunakan ketika memasuki Selekoh 18.
"Adalah baik kami berjaya mengesannya di sini kerana di Budapest, yang bukan litar dengan penggunaan tenaga yang tinggi, masalah itu mungkin lebih sukar dikenal pasti.
"Namun, ia tetap tidak mengubah keadaan buat George dan itulah yang mungkin menyumbang kepada kira-kira separuh, atau sedikit lebih, jurang masanya berbanding Kimi."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa