SELEPAS berkali-kali dinafikan peluang mencipta nama di pentas utama, Sami Zayn akhirnya berjaya meraih kejayaan paling manis dalam kariernya apabila dinobatkan sebagai Juara Undisputed baharu WWE di acara Night of Champions 2026, pada Ahad.
Zayn membuat kejutan apabila menewaskan juara bertahan Cody Rhodes dan Gunther dalam aksi tiga penjuru (triple threat match) yang menjadi kemuncak acara di Kingdom Arena, Riyadh, Arab Saudi, sekali gus merangkul kejuaraan dunia utama WWE buat kali pertama dalam kariernya.
Kemenangan itu menutup perjalanan cerita penuh berliku buat penggusti beragama Islam kelahiran Kanada itu, yang sekian lama dianggap sebagai 'underdog' WWE.
Selain gelaran 'Undisputed', beliau juga menjadi juara Grand Slam WWE, kerana pernah meraih gelaran United States Champion, juara Intercontinental, juara Tag Team RAW yang dimenangi bersama Kevin Owens.
Sebelum ini, Zayn, 41, pernah melalui pelbagai fasa sukar, serta tewas dalam beberapa perebutan gelaran dunia serta terpaksa membuktikan dirinya berulang kali di sebalik populariti luar biasa dalam kalangan peminat.
Namanya mula melonjak ketika menyertai kumpulan Bloodline sebagai "Honorary Uce", namun akhirnya mengkhianati Roman Reigns demi mempertahankan prinsipnya, sekali gus mencetuskan antara jalan cerita paling mendapat pujian dalam sejarah moden WWE.
Sejak itu, Zayn terus mengumpul pelbagai detik bersejarah termasuk menamatkan penguasaan panjang Gunther sebagai Juara Intercontinental di WrestleMania XL, namun impian untuk bergelar juara dunia masih belum menjadi kenyataan.
Di Night of Champions, segala penantian itu akhirnya berakhir.
Sorakan penonton bergema sebaik loceng penamat dibunyikan, dengan Zayn mengangkat tali pinggang Undisputed WWE Championship dalam satu daripada detik paling emosional dan bersejarah tahun ini.
Sementara itu, bintang sensasi Oba Femi terus mengukuhkan statusnya sebagai kuasa dominan baharu WWE apabila menewaskan Jey Uso untuk muncul pemenang King of the Ring 2026.
Kemenangan itu bukan sahaja melengkapkan kebangkitan luar biasa bekas juara NXT itu, malah menghadiahkannya peluang merebut kejuaraan dunia di SummerSlam.
Dalam saingan wanita pula, Iyo Sky menambah satu lagi pencapaian besar dalam kariernya apabila menewaskan Liv Morgan untuk dinobatkan sebagai Queen of the Ring 2026.
Kemenangan tersebut turut melayakkan bekas juara dunia itu menerima perlawanan kejuaraan wanita di SummerSlam, sekali gus membuka peluang untuk menambah satu lagi gelaran utama ke dalam koleksinya.
Night of Champions kali ini nyata mengubah landskap WWE menjelang SummerSlam, dengan kemunculan tiga pemenang besar sekali gus membuka lembaran baharu dalam persaingan kejuaraan syarikat gusti itu.