Skip to main content
Advertisement

Sukan

Selepas UFC Freedom, Dana White bayang satu lagi acara mega

81539763058_DanaWhite.jpg
Dana White memberi bayangan bahawa organisasi itu mungkin sedang merancang satu lagi acara berskala besar selepas kejayaan UFC Freedom 250 di White House, baru-baru ini. - Gambar fail
Advertisement

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif UFC, Dana White memberi bayangan bahawa organisasi itu mungkin sedang merancang satu lagi acara berskala besar selepas kejayaan UFC Freedom 250 di White House, baru-baru ini.

White berkata idea tersebut datang daripada Ketua Produksi UFC, Craig Borsari, yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam menjayakan acara UFC Freedom 250 di South Lawn, White House.

Menurut laporan MMA Fighting, White mendedahkan perkara itu ketika muncul dalam rancangan The Pat McAfee Show.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan lokasi, konsep atau tempoh masa penganjuran acara tersebut.

“Ketua produksi saya, Craig Borsari, terlalu yakin selepas dia berjaya melaksanakan acara itu dengan sangat baik. Kami sedang berbincang mengenai sesuatu yang datang daripada ideanya dan saya suka idea itu,” kata White.

“Saya perlu melakukan lebih banyak kerja asas mengenainya,” katanya lagi.

UFC Freedom 250 sebelum ini dianggap antara acara paling bercita-cita tinggi pernah dianjurkan UFC kerana berlangsung di kawasan White House sempena sambutan ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat.

Acara itu turut menjadi perhatian besar kerana menggabungkan pertarungan berprofil tinggi, kehadiran Presiden Donald Trump dan elemen simbolik yang jarang berlaku dalam penganjuran sukan tempur profesional.

White sebelum ini menegaskan acara di White House tidak akan diulang dan menyifatkannya sebagai penganjuran sekali sahaja.

Beliau turut menyatakan perkara sama mengenai acara UFC di Sphere, Las Vegas, yang sebelum ini dianggap antara produksi paling unik dalam sejarah organisasi tersebut.

Walaupun acara baharu yang sedang dibincangkan itu belum didedahkan, White memberi gambaran ia akan menjadi satu lagi projek besar dari sudut produksi dan persembahan.

Namun, beliau mengakui tiada acara lain mampu menyamai skala dan makna UFC Freedom 250 di White House.

“Tidak akan ada apa-apa lagi seperti White House. Malam itu, kami sudah mempunyai jangkaan tinggi dan saya sendiri terkejut. Ia perkara paling hebat yang pernah saya sertai,” kata White.

Kenyataan White itu menunjukkan UFC terus mencari cara baharu untuk memperluas konsep penganjuran acara, bukan hanya melalui pertarungan utama, tetapi juga lokasi, produksi dan nilai tontonan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UFC semakin agresif menggunakan acara khas sebagai cara membina naratif lebih besar, termasuk Noche UFC di Sphere dan UFC Freedom 250 di White House.

Pendekatan itu memberi gambaran bahawa organisasi berkenaan mahu terus mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu produk hiburan sukan paling menonjol di dunia.

Setakat ini, UFC belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi berhubung acara mega yang dimaksudkan White.


--Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement