NILAI: Pelumba berbasikal trek kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom memilih pendekatan satu demi satu dalam usaha memburu kejayaan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Shah Firdaus berkata saingan acara berbasikal trek pada temasya berkenaan dijangka sengit apabila ramai pelumba terbaik dunia, termasuk yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia, bakal mengambil bahagian.
“Seperti yang kita tahu, untuk Sukan Komanwel, acara berbasikal trek memang menampilkan pelumba-pelumba terbaik. Pelumba nombor satu dunia dan hampir semua pelumba dalam kelompok 10 terbaik dunia kebanyakannya ada di Sukan Komanwel.
“Jadi, perkara paling penting, saya kena ambil satu langkah demi satu langkah. Saya perlu layak dahulu, kemudian mara ke pusingan seterusnya. Apabila sampai ke final, barulah kita fikirkan strategi untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz ke venue latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai, semalam.
Shah Firdaus yang memenangi pingat gangsa acara keirin pada edisi 2022 di Birmingham, England, berkata beliau tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan terhadap dirinya, sebaliknya mahu menikmati setiap proses latihan dan perlumbaan.
Pelumba kelahiran Muar berusia 30 tahun itu berkata latihan yang dilalui selama ini adalah persediaan untuk menghadapi perlumbaan dan menjadi tanggungjawabnya sebagai atlet negara untuk memberikan yang terbaik apabila turun beraksi.
“Saya rasa ini kerja saya. Apabila tiba temasya atau perlumbaan, memang inilah tugas saya. Saya bukan berlatih hanya untuk berlatih, tetapi saya berlatih untuk berlumba.
“Jadi, apabila berlumba, inilah tugas saya. Saya menikmati latihan dan perlumbaan. Tiada tekanan, saya hanya mahu berseronok,” katanya.
Selain Shah Firdaus, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, New Joe Lau serta dua pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid, turut bakal menggalas cabaran Malaysia di Glasgow.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 mempertandingkan 10 jenis sukan termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
-- BERNAMA