Skip to main content

Sukan

Shahadzryl unggul dengan dua gelaran Piala Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 6 Sept - Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari (tiga, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei (empat, kanan) bergambar bersama pemenang beregu lelaki bawah 13 pada Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, hari ini. Pingat emas dimenangi oleh pasangan beregu Gan Giap Han dan Shahadzryl Suhaime (belakang, kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari (tiga, kanan) dan Chong Wei (empat, kanan) bergambar bersama pemenang beregu lelaki B-13 pada Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, Kuala Lumpur, 6 Sept 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Shahadzryl Suhaime mencuri tumpuan pada edisi sulung Piala Lee Chong Wei (LCW) apabila muncul satu-satunya pemain merangkul dua gelaran pada hari terakhir kejohanan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, semalam.

Pemain berusia 13 tahun dari Kuantan itu mempamerkan ketahanan fizikal mengagumkan sepanjang sembilan hari kejohanan selepas mengharungi saingan sejak pusingan kelayakan yang bermula Sabtu lepas.

Shahadzryl yang berketinggian 158 sentimeter memulakan hari gemilangnya dengan menjuarai perseorangan lelaki bawah 13 tahun (B-13) selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan wakil Pulau Pinang Jorus Lee Yi H’ng 12-15, 15-12, 15-12.

Momentum kemenangan itu diteruskan dalam acara beregu lelaki B-13 apabila beliau bergandingan dengan rakan sekolahnya dari Putrajaya, Gan Giap Han, untuk menundukkan pasangan Sarawak Ahmad Aniq Rafiq Mohd Zariffi-Lucas Ho Ming Joon 15-12, 15-12.

Meskipun berdepan jadual perlawanan padat sepanjang kejohanan, Shahadzryl berkata memburu kejuaraan dalam kedua-dua acara sememangnya menjadi sasarannya sejak awal.

“Sejak awal kejohanan, saya memang menyasarkan untuk meraih dua kejuaraan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shahadzryl yang mula bermain badminton pada usia lima tahun dan menjadikan legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai idolanya, kini memasang impian untuk melangkah lebih jauh dengan menyertai barisan pemain kebangsaan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Image
KUALA LUMPUR, 6 Sept - Pasangan beregu Gan Giap Han (kanan) dan Shahadzryl Suhaime (kiri) memenangi acara beregu lelaki bawah 13 pada Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shahadzryl (kiri) dan Giap Han (kanan) memenangi acara beregu lelaki B-13 pada Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026. - fotoBERNAMA

Sementara itu, Giap Han, 13, berkata mereka telah membina mentaliti untuk memburu kemenangan sebelum turun ke gelanggang dan beliau turut menyimpan hasrat untuk menyertai BAM pada masa depan.

Selaku juara perseorangan lelaki B-13, Shahadzryl membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, selain berkongsi RM3,000 bersama Giap Han hasil kejayaan menjuarai acara beregu kategori sama.

 

Keputusan Lain:

 

Lelaki B-17:

Perseorangan:

Leong Di Shan (BAM) mn Jared Foo Dun Liang (BAM) 15-13, 10-15, 15-11

Beregu:

Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fu’ad-Syed Harraz Sayed Muzir (MEL) mn Teoh Chong Yee-Wong Tze Han (BAM) 15-10, 15-9

 

Lelaki B-15:

Perseorangan:

 

Putera Raees Rafael Sulaiman (NSE) mn Wong Wei Shen (SEL) 12-15, 16-14, 15-13

Beregu:

Muhammad Noor Hanafi-Teoh Liang Hong (KUL) mn Muhammad Darwisy Al-Qhardawi-Putera Raees Rafael Sulaiman (NSE) 13-15, 15-12, 15-12

 

Wanita B-17

Perseorangan:

Teoh Sue Mei (BAM) mn Jang Sher Ling (BAM) 15-13, 12-15, 15-12

Beregu:

Lim Ke Xuan-Lim Yew Ern (BAM) mn Leong Hwee Ling-Teoh Min Yi (BAM) 15-13, 15-12

 

Wanita B-15

Perseorangan:

Chong Wan Xin (BAM) mn Zafirah Izza Mohd Zamlee (KEL) 15-9, 15-12

Beregu:

Chu Jing Xuan-Siti Nuraminah Abdullah (SEL) mn Adiq Puteri Waheeda-Tanisha (SEL) 15-9, 15-6

 

Wanita B-13

Perseorangan:

Ko Zhi Ching (IND) mn Lau Jay Earl (SEL) 10-15, 15-9, 16-14

Beregu:

Lim En Yu-Loh Hui Yee (IND) mn Ko Zhi Ching-Lim Xue Er (IND) 15-11, 15-12

 

Beregu Campuran B-17

Teoh Min Yi-Wong Tze Han (BAM) mn Leong Hwee Ling-Teoh Chong Yee (BAM) 13-15, 15-11, 16-14

 

(Nota: IND - Persendirian)

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement