ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) mengenakan penggantungan selama 45 hari terhadap 147 pegawai dan bekas pegawai kelab selepas didapati melanggar peraturan pertaruhan, susulan siasatan besar-besaran terhadap aktiviti perjudian dalam bola sepak negara itu.
Hukuman berkenaan diputuskan Lembaga Disiplin Bola Sepak Profesional pada Selasa selepas meneliti kes membabitkan 448 pegawai yang dirujuk oleh TFF berhubung dakwaan melakukan pertaruhan ketika memegang jawatan dalam kelab.
Daripada jumlah itu, jawatankuasa mendapati 147 individu melanggar peraturan pertaruhan dan mengenakan penggantungan selama 45 hari.
Sepanjang tempoh penggantungan, mereka yang dikenakan tindakan tidak dibenarkan menjalankan sebarang tugas dalam sukan bola sepak.
Antara yang dikenakan hukuman ialah Presiden Trabzonspor, Ertugrul Dogan.
Trabzonspor merupakan kelab yang beraksi dalam saingan liga utama Turkiye, Super Lig.
Bagaimanapun, lembaga berkenaan tidak mengenakan sebarang hukuman terhadap baki 301 individu selepas mendapati tiada asas mencukupi untuk tindakan disiplin.
Pada September lalu, TFF mengumumkan penggantungan sementara terhadap 448 pegawai dan bekas pegawai kelab yang pernah berkhidmat sepanjang lima tahun terdahulu dengan pasukan yang bersaing dalam dua divisyen teratas bola sepak Turkiye.
Menurut persekutuan itu ketika itu, individu yang dirujuk kepada badan disiplin berkenaan didapati melakukan pertaruhan ketika masih memegang jawatan dalam kelab.
TFF memperketat pemantauan terhadap aktiviti pertaruhan susulan skandal yang menggegarkan bola sepak Turkiye tahun lalu.
Sebagai sebahagian daripada siasatan berkenaan, persekutuan itu sebelum ini turut menggantung 149 pengadil dan 1,024 pemain untuk tempoh berbeza. - Agensi