Skip to main content

Sukan

Skuad boling lelaki negara raih gangsa, gagal pertahan kejuaraan Piala Dunia

Kuartet boling lelaki negara terdiri daripada bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol. - Foto Malaysian Tenpin Bowling Congress
Kuartet boling lelaki negara terdiri daripada bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol. - Foto Malaysian Tenpin Bowling Congress

Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad boling lelaki negara gagal mempertahankan gelaran pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman, selepas tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir, semalam.

Kuartet negara yang terdiri daripada bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol tewas 2-3 kepada Australia pada aksi separuh akhir di Max Munich Bowling, Brunnthal, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Malaysia memulakan saingan dengan cemerlang apabila menang 224-192 dalam perlawanan pembukaan, namun kalah 175-206 pada saingan kedua.

Mereka kemudian mendahului menerusi kemenangan 217-164 pada perlawanan ketiga sebelum Australia menyamakan kedudukan dengan memenangi aksi keempat 195-168.

Australia kemudian mengesahkan tempat ke final menerusi kemenangan 275-194 dalam perlawanan penentuan.

Keputusan semalam menyaksikan Malaysia berkongsi pingat gangsa dengan Amerika Syarikat yang tersingkir selepas tewas 1-3 menentang Perancis dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, pasukan wanita negara turut terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas kalah 2-3 kepada Singapura pada perlawanan separuh akhir yang sengit.

Kuartet yang dibarisi Natasha Mohamed Roslan, yang baru merangkul pingat perak perseorangan dalam kejohanan itu, selain Sin Li Jane, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nur Hazirah Ramli ketinggalan selepas tewas dalam dua perlawanan pertama 203-236 dan 200-211.

Bagaimanapun, pasukan Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 259-215 dan 194-180 pada saingan ketiga dan keempat.

Singapura kekal tenang pada aksi penentuan untuk mencatat kemenangan 191-174, sekali gus mara ke final dan akan bertemu Denmark.

Denmark menempah tempat di final selepas mencipta kejutan dengan menewaskan juara bertahan, Amerika Syarikat 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement