KUALA LUMPUR: Atlet renang para negara Abd Halim Mohamad sedia menyahut cabaran untuk beraksi dalam kelas lebih tinggi iaitu SB9 (kecacatan fizikal) berbanding kebiasaannya SB8, pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Abd Halim, 28, pemenang lima pingat emas di Sukan Para ASEAN Thailand 2025 membuat keputusan itu selepas Renang Para Dunia (WPS) menawarkan peluang untuk beliau beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak dada SB9 kerana kategori SB8 tidak dipertandingkan.
"SB9 ini lebih kuat daripada kategori saya tetapi saya setuju untuk sahut cabaran ini. Saya ke Glasgow untuk mencari pengalaman dan bersaing dengan perenang terbaik dunia.
"Walaupun sukar untuk menjanjikan pingat dalam kelas yang bukan milik saya, namun untuk ke final, ya, saya boleh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini, semalam.
Mengikut paralympic.org, kategori S1-S10, SB1-SB9 dan SM1-SM10 dikhaskan untuk atlet kecacatan fizikal dengan terdapat 10 kelas sukan berbeza dinomborkan dari 1 hingga 10, dengan klasifikasi diberikan mengikut impak kecacatan terhadap keupayaan atlet berenang dan bukannya berdasarkan jenis kecacatan.
Mengikut sistem berkenaan, atlet dalam nombor kelas lebih rendah mempunyai tahap kecacatan lebih berat manakala nombor lebih tinggi menunjukkan impak kecacatan lebih ringan terhadap prestasi mereka di dalam air.
Sementara itu, seorang lagi perenang negara Ethan Khoo yang akan bertanding dalam acara 200 m gaya bebas S14 (masalah intelektual) berkata peluang beraksi di Glasgow merupakan platform terbaik untuknya bersaing bersama barisan perenang dunia.
"Pesaing saya akan hadir dari Australia dan United Kingdom dengan sasaran utama adalah memecahkan rekod peribadi saya sendiri. Peluang ke podium saya sifatkan sebagai 50-50 tetapi akan cuba terbaik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi perenang para negara iaitu Muhammad Nur Syaiful Zulkafli akan menyertai acara 50 m gaya bebas S7 (kecatatan fizikal).
-- BERNAMA