Ringkasan AI
- Datuk Abdul Latif Romly mempertahankan pingat emas lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan lompatan 7.39 meter.
- Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut Abdul Latif sejak edisi 2014, mengatasi Hassan Dawshi dari Arab Saudi dan Kanta Kokubo dari Jepun.
- Kejayaan Abdul Latif menyumbang emas ketiga kontinjen Malaysia, selepas Bonnie Bunyau Gustin memenangi acara powerlifting 72 kilogram lelaki.
KUALA LUMPUR: Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan dalam acara lompat jauh T20 lelaki apabila mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Pada aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter (m) untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Pingat perak menjadi milik atlet Arab Saudi Hassan Dawshi menerusi lompatan 7.03m, manakala wakil tuan rumah Kanta Kokubo meraih gangsa dengan catatan 6.98m.
Abdul Latif, pemegang rekod dunia dengan catatan 7.67m, sebelum ini turut meraih emas pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia dan 2022 di Hangzhou, China.
Dua lagi wakil negara, Eljoe Gotuoh menamatkan saingan di tempat keempat dengan lompatan 6.91m, manakala Nik Mohamad Rahmat Mohd Zahari menduduki tempat ketujuh menerusi catatan 6.42m.
Kejayaan Abdul Latif turut menyumbang pingat emas ketiga kontinjen negara pada temasya kali ini, selepas jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengungguli kategori 72 kilogram lelaki di Nagoya City Trade & Industry Center, hari ini.
-- BERNAMA