Skip to main content

Sukan

Sukan Para Asia 2026: Nur Syaiful pertahan emas 100m kuak dada dengan rekod baharu

Nur Syaiful menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada edisi kelima temasya sukan pelbagai acara yang diadakan setiap empat tahun sekali itu. - Foto Majlis Sukan Negara
Nur Syaiful menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada edisi kelima temasya sukan pelbagai acara yang diadakan setiap empat tahun sekali itu. - Foto Majlis Sukan Negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jaguh renang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berjaya mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun semalam, dengan mencatat rekod baharu temasya 1 minit 41.44 saat (s).

Perenang dari Sarawak itu memecahkan rekod temasya miliknya sendiri, 1:41.55s, yang dicatat pada saringan kedua pagi semalam, sekali gus merangkul emas kedua berturut-turut dalam acara itu yang berlangsung di Nagoya City General Gymnasium.

Keputusan itu juga menyaksikan atlet berusia 31 tahun itu menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada edisi kelima temasya sukan pelbagai acara yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

Ali Turganbekov dari Kazakhstan pula meraih pingat perak dengan catatan 1:44.26s, manakala perenang India Rohit Kumar memperoleh pingat gangsa selepas merekodkan masa 1:57.25s.

Nur Syaiful memecahkan rekod temasya 1:46.78s yang dilakukannya pada edisi terdahulu di Hangzhou pada 2022 dalam pusingan saringan, sebelum membaharui catatan itu sekali lagi pada pusingan akhir.

Sementara itu, bagi acara 50m gaya bebas wanita S8 (kecacatan fizikal), perenang negara Carmen Lim meraih pingat gangsa selepas mencatat 35.51s.

Acara itu dijuarai oleh atlet dari China, Zhu Hui yang merekodkan masa 31.40s, manakala wakil Jepun, Mai Mizukami mendapat pingat perak dengan 35.49s.

Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung hingga 24 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement