Ringkasan AI
- Zuhairie Ahmad Tarmizi memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara ujian masa 1000m C4-C5 lelaki.
- Beliau mencatat masa terpantas 1:05.361 saat di Velodrom Izu, menewaskan pelumba Thailand dan Indonesia yang meraih perak dan gangsa.
- Zuhairie turut memecahkan rekod temasya pada pusingan kelayakan dengan catatan 1:04.882 saat, mengatasi rekod lama milik pelumba China.
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek para negara Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengungguli acara ujian masa 1000 meter (m) C4-C5 (kecacatan fizikal) lelaki hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Izu, Zuhairie yang bertanding dalam kategori C5 mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mencatatkan masa terpantas 1 minit 05.361 saat (s), sekali gus mengesahkan kedudukan di podium tertinggi.
Pingat emas itu juga adalah pingat pertama Malaysia pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Pingat perak menjadi milik pelumba Thailand Jaturong Niwanti yang mencatat masa 1:07.206s manakala wakil Indonesia Sufyan Saori membawa pulang gangsa (1:08.166s).
Kejayaan Zuhairie itu bertambah manis apabila beliau turut meleburkan rekod temasya pada saingan peringkat kelayakan.
Pada pusingan berkenaan, beliau melakar masa sensasi 1:04.882s untuk memadam rekod lama 1:07.311s yang dipegang pelumba China Lai Shanzhang yang dilakukan pada 2022.
-- BERNAMA