Skip to main content

Sukan

Sukan Para Asia: Persaingan semakin sengit, Malaysia perlu usaha teroka pelapis baharu

Mordi (kanan) bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen Malaysia dari Temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di KLIA, Sepang, semalam.  Turut sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri).  --fotoBERNAMA
Mordi (kanan) bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen Malaysia dari Temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di KLIA, Sepang, semalam. Turut sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri). --fotoBERNAMA

Advertisement

SEPANG: Persaingan yang semakin sengit peringkat serantau menuntut Malaysia mempergiat usaha mencari bakat baharu bagi memastikan kesinambungan prestasi kontinjen negara pada temasya Sukan Para Asia akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata usaha mengenal pasti bakat baharu akan dipergiat melalui pelbagai saluran, termasuk sekolah pendidikan khas dan Para Sukan Malaysia bagi memastikan kontinjen negara terus melahirkan pelapis baharu menggantikan atlet sedia ada. 

“Saya percaya, apa yang merisaukan kita sekarang adalah saingan itu ada dan makin tinggi … kerana itu kita galakkan pencarian atlet baharu.

“Cabaran tetap ada, tetapi kita akan tetap bersedia termasuk dari segi dana tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kontinjen negara dari temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini semalam.

Malaysia menamatkan kempen Sukan Para Asia kali ini dengan kutipan enam pingat emas, lapan perak dan 13 gangsa selain menduduki tempat ke-12 bagi carta pingat keseluruhan.

Kontinjen negara terdiri daripada 68 atlet yang bertanding dalam 94 acara merangkumi 10 daripada 18 sukan dipertandingkan, sekali gus menjadikan kontinjen terkecil Malaysia setakat ini pada temasya berkenaan.

China mendominasi Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan 207 emas, 117 perak dan 111 gangsa, jauh mengatasi Jepun yang berada di tempat kedua (64-60-62) manakala Uzbekistan ketiga (45-49-51).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement