KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Terbuka Denmark 2026 dengan langkah kanan apabila berjaya menyingkirkan juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sekali gus mara ke pusingan kedua di Odense, semalam.
Pasangan pilihan ke empat yang juga juara edisi 2023 itu mengambil masa 51 minit untuk menundukkan lawan mereka dengan 21-19, 14-21, 21-11 dalam kejohanan bertaraf Super 750 yang berlangsung di Jyske Bank Arena.
Menunggu Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua rakan sepasukan, Aaron Tai-Yap Roy King, sekiranya pasangan yang baru dinobatkan sebagai juara Terbuka Arctic 2026 itu berjaya melepasi cabaran gandingan Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Lee Jong-min dalam perlawanan pembukaan mereka yang dijadualkan berlangsung lewat hari ini.
Berbeza pula nasib perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, yang tersingkir awal selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Line Christophersen 5-21, 18-21, dalam masa 32 minit.
Terbuka Denmark 2026 menawarkan hadiah keseluruhan AS$950,000 (kira RM3.9 juta).
-- BERNAMA