KUALA LUMPUR: Hasrat pemain skuasy negara, S. Sivasangari untuk melangkah ke final Terbuka Mesir 2026 tidak kesampaian selepas tewas kepada juara bertahan Hania El Hammamy pada peringkat separuh akhir di Giza pada Khamis.
Walaupun tewas, Sivasangari, 27, memberikan saingan sengit kepada pilihan utama yang juga peserta kegemaran tuan rumah dalam aksi lima set mendebarkan selama 86 minit, 11-6, 10-12, 21-10, 0-11, 10-12 di gelanggang kaca di hadapan Piramid Besar Giza.
Keputusan itu menyaksikan El Hammamy, pemain nombor dua dunia melebarkan kelebihan rekod pertemuan dengan Sivasangari yang menghuni ranking kelima dunia kepada 11-2.
Pemain Mesir berusia 26 tahun itu kini hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran Terbuka Mesir buat kali ketiga dan akan berdepan rakan senegara yang juga pemain nombor satu dunia Amina Orfi pada aksi final hari ini, menjadikannya pertemuan kelima mereka tahun ini.
Orfi, 19, menempah tempat ke perlawanan akhir selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan rakan senegara Nouran Gohar 9-11, 11-8, 12-10, 11-6 dalam pertembungan separuh akhir yang berlangsung selama 71 minit.
-- BERNAMA