Skip to main content

Sukan

Terbuka Perancis: Sze Fei-Nur Izzuddin singkir juara bertahan, mara ke separuh akhir

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat. - Gambar fail/ Bernama
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat. - Gambar fail/ Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyingkirkan juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026, pada Jumaat.

Pilihan kelima itu memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan pilihan utama kejohanan berkenaan 21-15, 21-18 pada aksi suku akhir kejohanan Super 750 di Arena Grand Paris.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini menghuni ranking kelima dunia seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan satu lagi gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Lee Jong Min 21-14, 21-19.

Turut ke kelompok empat terbaik Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas perlawanan menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti ketika mereka mendahului 5-0,  susulan kecederaan di bahagian kaki yang dialami Wooi Yik.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu dijadualkan berdepan wakil Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang menundukkan pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 23-21, 21-18.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-12, 21-15.

Pearly-Thinaah dijangka berdepan cabaran getir berdepan pasangan pilihan ketiga dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam aksi separuh akhir.

Terdahulu, pasangan Jepun itu mengetepikan rakan senegara Ririna Hiramoto-Chiharu Shida 21-18, 16-21, 21-15.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement