KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain mengakui kecewa apabila gagal mengutip tiga mata berharga di tempat sendiri pada perlawanan menentang Penang FC, malam tadi.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata, anak buahnya tidak mempamerkan aksi meyakinkan dan gagal menyudahkan peluang sehingga menyebabkan skuad Penyu gagal meraih sebarang gol.
Beliau menggesa pemain supaya meningkatkan mutu permainan bagi memastikan TFC mampu bersaing dengan baik, seterusnya mencapai sasaran ditetapkan oleh pasukan.
"Memang agak kecewa kerana kita terlepas tiga mata berharga di tempat sendiri. Tiga perlawanan di tempat sendiri kita hilang lima mata. Kita ada beberapa peluang berbanding Penang FC, tetapi gagal dimanfaatkan.
“Saya nampak keadaan pemain tidak meyakinkan dan agak kelam kabut. Kita tidak dapat lancar serangan yang baik. Pada babak kedua corak permainan semakin baik, tetapi tidak cukup untuk menembusi Penang FC yang bertahan dengan baik sebagai satu unit," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
Perlawanan berakhir dengan seri 0-0 selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol.
Sementara itu pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, beliau bersyukur kerana skuad Harimau Kumbang akhirnya mampu meraih satu mata berharga selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.
Beliau berkata, pujian harus diberi kepada anak buahnya yang mempamer semangat juang tinggi dan mencatat peningkatan dalam permainan.
"Alhamdulillah kita bersyukur dapat mencuri satu mata dari gelanggang lawan. Bukan senang untuk berdepan pasukan besar seperti Terengganu, tetapi pemain berjaya lakukannya.
"Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan akan datang. Saya lihat pemain menunjukkan peningkatan dari segi permainan. Itu perkembangan yang baik tetapi masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk kita bersaing dengan pasukan lain di liga ini," katanya.
-- BERNAMA