Skip to main content

Sukan

TSS Selangor U9 harumkan nama Malaysia di China, juara kejohanan antarabangsa di Jinan

 TSS Selangor U9 harumkan nama Malaysia di China -- kredit TSS FC
Kejayaan TSS Selangor Malaysia Bawah 9 Tahun (U9) menjuarai Jinan International Football Invitational Tournament di China baru-baru ini membuktikan pemain muda negara memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan TSS Selangor Malaysia Bawah 9 Tahun (U9) menjuarai Jinan International Football Invitational Tournament di China baru-baru ini membuktikan pemain muda negara memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TSS FC, Dino Omar berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil persiapan yang dilakukan secara konsisten serta komitmen tinggi daripada pemain, jurulatih, pengurusan dan ibu bapa.

Menurut beliau, sebelum berangkat ke Jinan, pasukan memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek teknikal dan taktikal permainan, malah menekankan kecergasan fizikal, disiplin, kekuatan mental serta kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan antarabangsa.

"Kami juga menyediakan pemain dari aspek mental supaya mereka memahami bahawa mereka bukan sekadar bermain untuk diri sendiri atau kelab, tetapi membawa nama TSS Selangor, Selangor dan Malaysia.

"Setiap sesi latihan, perlawanan persahabatan dan persiapan sebelum kejohanan digunakan bagi membentuk keyakinan serta keserasian pasukan," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas cabaran dihadapi sepanjang kejohanan, Dino berkata, pasukan U9 berdepan lawan yang memiliki tahap persaingan, pembangunan fizikal dan pengalaman yang berbeza, khususnya daripada akademi bola sepak yang mempunyai sistem pembangunan usia muda lebih tersusun.

Beliau turut mengakui faktor cuaca, perjalanan jauh serta suasana pertandingan yang berbeza daripada kebiasaan di Malaysia menjadi cabaran tambahan kepada pemain.

Bagaimanapun, beliau melihat semua pengalaman tersebut sebagai proses pembelajaran yang amat berharga dalam membentuk karakter dan keyakinan pemain.

"Mereka belajar untuk tidak mudah gentar dengan nama atau reputasi lawan. Apabila berada di atas padang, yang paling penting ialah keberanian, disiplin, kerja berpasukan dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri," ujarnya.

Bagi Dino, perkara paling membanggakan sepanjang kejohanan bukan sekadar trofi yang berjaya dibawa pulang, sebaliknya perubahan serta kematangan yang ditunjukkan pemain-pemain muda berkenaan.

Katanya, para pemain menunjukkan disiplin yang tinggi, sentiasa menyokong antara satu sama lain dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan tekanan.

"Mereka datang bukan sekadar untuk mengambil pengalaman, tetapi dengan mentaliti bahawa mereka mampu bersaing dan memberikan cabaran kepada pasukan terbaik.

"Ini adalah mentaliti yang perlu dibentuk sejak usia muda," katanya.

Dalam masa sama, beliau percaya kejayaan di Jinan merupakan salah satu petunjuk bahawa program pembangunan bola sepak akar umbi di negara ini mampu melahirkan pemain yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Namun, katanya, kejayaan itu tidak boleh dianggap sebagai penamat, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh ekosistem pembangunan bakat muda negara.

"Malaysia mempunyai ramai bakat muda. Apa yang diperlukan ialah struktur pembangunan yang baik, latihan yang konsisten, jurulatih berkualiti, pendedahan pertandingan yang mencukupi serta sokongan berterusan daripada ibu bapa, kelab dan pihak berkaitan.

"Jika semua elemen ini dapat bergerak seiring, saya yakin lebih ramai pemain muda Malaysia mampu melangkah lebih jauh," katanya.

TSS Selangor U9 turut mendedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Menurut Dino, dedikasi berkenaan bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pemain sejak usia muda agar mereka memahami tanggungjawab besar yang digalas apabila mewakili negara.

"Walaupun mereka masih berusia sembilan tahun, mereka sudah berpeluang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Kami mahu mereka memahami bahawa setiap kali memakai jersi Malaysia, ada satu tanggungjawab dan kebanggaan yang lebih besar di sebaliknya.

"Walaupun kita masih kecil, impian kita tidak semestinya kecil. Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak Malaysia supaya berani bermimpi, berani mencuba dan percaya bahawa mereka juga mampu membawa nama negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Mengulas perancangan seterusnya, Dino berkata, TSS Selangor akan terus memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain-pemain muda menerusi penyertaan dalam kejohanan dan perlawanan kompetitif di luar negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, fokus utama pasukan bukanlah mengejar trofi semata-mata, sebaliknya membangunkan pemain secara holistik.

"Matlamat kami adalah melahirkan pemain yang bukan sahaja cemerlang di atas padang, tetapi mempunyai disiplin, karakter, keyakinan, jati diri dan mentaliti yang betul.

"Kami mahu mereka berkembang menjadi juara dalam dan luar padang, bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga dalam kehidupan," katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Asian Grassroots Development Union (AGDU) selaku penaja pasukan ke China, selain berterima kasih kepada ibu bapa, jurulatih, pengurusan, penyokong dan seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

"Kejuaraan ini adalah hasil usaha bersama dan kemenangan untuk Malaysia," kata beliau lagi.

Must Watch Video

Advertisement