Ringkasan AI
- Alexander Volkanovski menewaskan Movsar Evloev menerusi TKO pada pusingan kedua di UFC 333, memberikan kekalahan pertama kepada petarung Rusia itu.
- Kemenangan ini menjadikan Volkanovski petarung pertama divisyen featherweight UFC dengan sembilan kemenangan kejuaraan, mengatasi rekod Jose Aldo.
- Dalam acara kedua utama, Petr Yan mempertahankan gelaran bantamweight selepas menewaskan Merab Dvalishvili menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan trilogi.
ALEXANDER Volkanovski terus mengukuhkan statusnya sebagai antara petarung featherweight terbaik sepanjang zaman selepas menewaskan Movsar Evloev pada acara utama UFC 333 di Etihad Arena, Abu Dhabi, pada Sabtu.
Jaguh dari Australia berusia 38 tahun itu hanya memerlukan dua pusingan untuk menamatkan cabaran Evloev menerusi kemenangan technical knockout (TKO), sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama dalam karier profesional petarung Rusia berkenaan.
Volkanovski menang menerusi tumbukan bertubi-tubi di posisi bawah (ground-and-pound), memaksa pengadil Marc Goddard menghentikan pertarungan pada minit 4:54 pusingan kedua.
Ketika itu, Evloev, 32, dilihat gagal memberikan pertahanan berkesan selepas diasak dengan beberapa tumbukan susulan ketika berada di atas kanvas.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Volkanovski mencipta sejarah apabila menjadi petarung pertama dalam divisyen featherweight UFC merekodkan sembilan kemenangan dalam pertarungan kejuaraan, mengatasi rekod lapan kemenangan milik legenda Brazil, Jose Aldo.
Selepas kehilangan tali pinggang kejuaraan kepada Ilia Topuria pada Februari 2024, Volkanovski berjaya merampas semula gelaran yang dikosongkan itu selepas menewaskan Diego Lopes pada April tahun lalu.
Kemenangan ke atas Evloev merupakan kejayaan kedua Volkanovski mempertahankan gelarannya sejak kembali bergelar juara, selepas turut menewaskan Lopes dalam aksi ulangan pada Februari lalu.
Kejayaan itu juga melebarkan rekod profesional 'The Great' itu kepada 29 kemenangan dan empat kekalahan (29 - 4), manakala rekod bersih Evloev kini 'tercalar' akibat kekalahannya itu, menjadi 20 - 1.
Sementara itu, dalam acara kedua utama, juara bantamweight dari Rusia, Petr Yan berjaya mempertahankan gelarannya selepas menewaskan pencabar dari Georgia, Merab Dvalishvili menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) dalam pertarungan trilogi yang berlangsung sengit selama lima pusingan.
Yan, 33, yang merampas tali pinggang kejuaraan daripada Dvalishvili pada Disember lalu, bangkit daripada permulaan agak perlahan sebelum memperoleh kemenangan menerusi keputusan 48-47 daripada ketiga-tiga juri.
Dvalishvili pada awalnya mendominasi pertarungan menerusi tekanan berterusan serta beberapa percubaan menjatuhkan lawan (takedown), sekali gus menyukarkan Yan untuk melancarkan serangan.
Bagaimanapun, momentum pertarungan mula berubah pada penghujung pusingan ketiga apabila Yan berjaya melakukan satu tendangan tepat ke bahagian hati yang jelas memberikan kesan kepada pencabarnya.
Serangan itu membuka ruang kepada Yan untuk meningkatkan tekanan menerusi kombinasi tumbukan serta pertahanan takedown yang lebih berkesan dalam dua pusingan terakhir.
Meskipun Dvalishvili terus memberikan tentangan sehingga tamat pertarungan, Yan berjaya mengekalkan kelebihan untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut ke atas pencabar berkenaan, sekali gus menamatkan perseteruan trilogi mereka dengan keputusan 2-1.