[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
SUKAN

18 atlet SPM dalam dilema sertai Sukan SEA Thailand

Bernama 14/10/2025 | 08:39 MYT
Nurul Huda berkata, pihaknya belum mendapat maklum balas Kementerian Pendidikan sama ada kelonggaran khas dapat diberikan kepada atlet terbabit. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap penyertaan 18 atlet negara yang dijadual menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Ia susulan SPM yang berlangsung dari 3 Nov-23 Dis akan bertembung dengan temasya pada 9-20 Dis ini.

Beliau berkata pihaknya belum mendapat maklum balas Kementerian Pendidikan sama ada kelonggaran khas dapat diberikan kepada atlet terbabit bagi membolehkan mereka tetap menyertai temasya itu tanpa menjejaskan peperiksaan masing-masing.

Katanya, perkara itu menyebabkan dilema kepada atlet dan keluarga untuk membuat keputusan sama ada menyertai temasya dwitahunan itu atau mengambil SPM.

"Terdapat kebimbangan dibangkitkan kepada saya mengenai atlet yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM, yang bertembung dengan jadual Sukan SEA. Setakat ini tiada maklum balas yang pasti," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Temasya Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini.

Nurul Huda turut memaklumkan pengurus pasukan Sukan SEA Thailand 2025 bakal menggalas tanggungjawab besar susulan tiada perkampungan sukan di temasya dwitahunan itu dan pihak penganjur hanya menyediakan hotel buat atlet dan pegawai terlibat berdasarkan acara sukan disertai mereka.

"Kontinjen kita akan berada di banyak hotel dan hal ini akan menjadi cabaran utama untuk kami dan di sinilah kami juga bergantung pada pengurusan pasukan.

"Tanggungjawab mereka sangat besar dan inilah apa yang saya tekankan hari ini dalam mesyuarat pengurus pasukan. Mereka akan bertanggungjawab atas kebajikan pasukan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Huda turut memaklumkan pihaknya sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan membawa Jalur Gemilang di Thailand.

Menurut beliau senarai tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memutuskan calon yang sesuai menggalas tanggungjawab itu.

-- BERNAMA



#atlet negara #Sukan SEA #SPM #Thailand #nurul huda abdullah