2018 tahun kebangkitan Vivian Hoo

Astro Arena
Januari 3, 2018 06:33 MYT
Woon Khe Wei (belakang) dan Vivian Hoo beraksi menentang lawan dari Singapura pada perlawanan suku akhir Beregu Wanita Badminton Sukan SEA KL2017 pada 27 Ogos lalu. - BERNAMA
PEMAIN beregu wanita negara, Vivian Hoo, sempat dibelenggu kemungkinan dipisahkan dengan gandingannya, Woon Khe Wei, sepanjang 2017.
Bagaimanapun, gandingan itu terus kekal bersama malah Vivian berpandangan 2018 ibarat nafas kedua untuk mereka membuktikan status sebagai pemain senior dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Sudah tentu, kami akan menghadapi tahun baru dengan harapan baru.
"Saya berpeluang untuk berehat seketika tahun ini untuk memberi peluang kepada kami melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan sulung, iaitu Terbuka Malaysia Open kira-kira dua minggu lagi," katanya.
Di samping perseorangan wanita, Sonia Cheah dan Goh Jin Wei, pasangan beregu Vivian-Khe Wei adalah nama yang pasti memicu misi kelayakan ke pusingan akhir Piala Uber.
Tahun lalu turut menyaksikan peningkatan beregu lain di bawah mereka, khususnya Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.
Oleh kerana itu, Vivian berasakan tidak salah untuk menaruh keyakinan kepada skuad wanita untuk menempah tiket ke Bangkok, Mei depan.
"Beregu wanita Malaysia yang lain juga banyak meningkat terutama dari segi ranking berbanding sebelum ini," katanya lagi.
#badminton #Chow Mei Kuan #goh jin wei #Lee Meng Yean #Malaysia Open #Sonia Cheah #Uber Cup #Vivian Hoo #Woon Khe Wei