SUKAN
30 atlet karate negara buru slot Sukan SEA di Nilai

Nur Azmi berkata kejohanan itu turut menjadi medan pemilihan atlet negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini serta Sukan Asia 2026 di Jepun. - Gambar fail/Bernama
NILAI: Seramai 30 atlet karate kebangsaan bakal berentap pada Kejohanan WKF Karate 1 Series A 2025 yang berlangsung di N9 Arena, Nilai, dari 3 hingga 5 Okt ini.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata kejohanan itu turut menjadi medan pemilihan atlet negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini serta Sukan Asia 2026 di Jepun.
"Daripada kejohanan ini, kita akan menilai kemampuan atlet dan hanya yang terbaik akan dipilih ke Sukan SEA. Karate sentiasa menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen negara, maka prestasi konsisten amat penting," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Penaung Karate Malaysia yang juga Naib Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF) Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam sempena penganjuran kejohanan itu di sini, hari ini.Menurut Nur Azmi, setakat ini sebanyak 81 negara mengesahkan penyertaan membabitkan 1,080 atlet, antaranya dari Arab Saudi, Jepun dan Amerika Syarikat.
Katanya tiada sasaran pingat ditetapkan pada kejohanan itu, sebaliknya beliau mahu semua atlet negara memberikan cabaran sengit kepada lawan.
"Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mahu pingat, tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kepada atlet. Fokus saya adalah memastikan semua berjalan lancar dan mereka dapat mempamerkan aksi terbaik.
"Jika keputusan tidak memihak kepada kita, masih ada masa dua bulan untuk memperbaiki aspek mental, taktikal serta persiapan lain menjelang Sukan SEA," katanya.
Kejohanan WKF Karate 1 Series A adalah pertandingan tahap kedua dalam struktur liga Persekutuan Karate Dunia (WKF) yang menawarkan mata ranking dunia sebelum Kejohanan Dunia di Paris pada Oktober depan serta Kejohanan Dunia Senior di Mesir pada November nanti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami