SUKAN

99 Speed Mart hulur ganjaran khas RM107,000 kepada pemenang pingat Paralimpik Paris 2024

Bernama 23/09/2025 | 23:40 MYT
Hannah bergambar kenangan selepas sidang media pemberian tajaan khas kepada pemenang pingat paralimpik di Menara KBS Putrajaya semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin (dua, kiri) dan Liek Hou (tiga, kiri). --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Syarikat rangkaian kedai runcit 99 Speed Mart Sdn Bhd tampil memberikan ganjaran khas berjumlah RM107,000 kepada lima pemenang pingat negara di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sumbangan itu menyaksikan jaguh badminton para Cheah Liek Hou dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, masing-masing menerima RM35,000 selepas meraih pingat emas.

Sementara itu, pemenang pingat perak acara olahraga Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli menerima RM15,000 setiap seorang, manakala Eddy Bernard yang meraih gangsa memperoleh RM7,000.

Menurut Hannah, 99 Speed Mart bukan antara tiga syarikat yang sebelum ini diumumkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai penaja, yang pada mulanya dilaporkan mahu memberi sumbangan RM60,000 kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2024 tahun lalu.

"Selepas isu ini timbul, saya ingin jelaskan bahawa 99 Speed Mart tidak terlibat dalam janji asal. Mereka membaca laporan, menghubungi pejabat saya dan menyatakan hasrat untuk tampil menyelesaikan perkara ini demi membantu atlet para," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jelasnya, pemberian itu adalah ganjaran khas 99 Speed Mart dan tidak ada kaitan dengan syarikat yang sebelum ini dikaitkan dengan janji sumbangan.

Beliau menegaskan isu berkenaan dianggap selesai dan berharap atlet dapat kembali memberi tumpuan kepada pencapaian membanggakan negara.

Baru-baru ini, Liek Hou mendakwa MPM gagal menunaikan janji insentif RM60,000 selepas beliau meraih emas di Paris, hingga mencetuskan pertikaian terbuka.

MPM kemudian dilaporkan mempertimbangkan tindakan undang-undang serta penggantungan terhadapnya. Namun, Hannah pada Ahad lalu mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana isu terbabit membabitkan penajaan, bukannya salah laku disiplin.

Dalam perkembangan sama, Hannah berharap MPM, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta badan sukan lain dapat menggunakan kaedah penajaan berasaskan 'template' Road To Gold (RTG) bagi memastikan semua ganjaran penaja didokumenkan secara rasmi.

-- BERNAMA



#atlet para #Sukan Paralimpik Paris 2024 #Cheah Liek Hou #99 Speed Mart