KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah dan adik lelakinya Aiden memburu rekod baharu dalam saingan Kejohanan Oceania 2022 di Australia hujung minggu ini.

Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) dalam kenyataan memaklumkan Aaliyah Yoong, 19, dan Aiden Yoong, 17, dijemput oleh Konfederasi Oceania untuk bertanding dengan beberapa pemain ski terbaik di rantau ini di Max Kirwan Ski Park Mulwala, New South Wales.

Sudah tentu ini peluang untuk Aaliyah Yoong terus menyerlahkan kehadirannya di peringkat tertinggi susulan kejayaan beliau tahun ini, kerana acara berkenaan akan menamatkan musim 2022 beliau, dengan kejohanan Oceania akan menampilkan saingan kuat dari Australia dan New Zealand.

Sementara itu, bagi Aiden Yoong, kejohanan itu ialah pertandingan kedua beliau tahun ini dengan matlamat untuk memperbaiki mata 'tricks' dengan sasaran mendapat jemputan ke Junior Moomba di Melbourne pada Mac tahun depan.

Aaliyah Yoong akan bertanding dalam tiga acara iaitu 'slalom', 'tricks' dan 'jump' manakala Aiden Yoong akan beraksi dalam 'slalom' dan 'tricks' sahaja.

Ketua jurulatih Hanifah Yoong berkata kejohanan itu ialah acara antarabangsa ketujuh buat Aaliyah tahun ini dan keputusannya setakat ini telah menempatkan beliau kukuh pada kedudukan 10 terbaik wanita dalam ranking wanita terbuka.

"Beliau juga dalam senarai tiga terbaik dunia dalam ranking bawah 21 tahun dan semestinya mahu terus meningkat. Beliau perlukan acara ini untuk melonjakkan ranking dunianya sebagai permulaan baik dalam Kejohanan Dunia B-21 IWWF (Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa) di Mexico tahun depan.

"Aiden hanya ada satu acara antarabangsa tahun ini apabila beliau bersaing dalam pertemua Asia tetapi beliau juga telah mencapai kemajuan yang baik dalam latihan selama enam bulan lepas," katanya.

Pada Julai, Aaliyah Yoong menjadi pemain ski Malaysia pertama memenangi pingat di pentas dunia apabila meraih gangsa dalam acara tricks kegemarannya pada Sukan Dunia di Birmingham, Alabama.

Prestasinya terus menyerlah apabila mendominasi Kejohanan Asia pada Ogos setelah menyapu bersih kesemua empat pingat emas dalam acara 'tricks', 'slalom', 'jump' dan keseluruhan.

-- BERNAMA