Aaron-Wooi Yik buktikan mereka atlet berkelas dunia - Taufiq

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dr Mohammed Taufiq dan Tengku Zafrul bergambar bersama Aaron-Wooi Yik dan Kim Won Ho-Seo Sung Jae selepas tamat perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, 11 Jan. - Facebook Taufiq
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyifatkan semangat juang serta komitmen yang ditampilkan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yok sehingga ke perlawanan akhir, membuktikan kelas sebenar pasangan iti sebagai atlet bertaraf dunia.
Beliau berkata keputusan naib juara yang diraih beregu nombor dunia di Terbuka Malaysia 2026 itu, bukan satu noktah penamat tetapi sebahagian daripada perjalanan mereka menuju kejayaan yang lebih besar.
"Pencapaian mara ke final ini juga menamatkan kemarau 12 tahun wakil beregu negara menjejak kaki ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia.
“Terima kasih Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas perjuangan luar biasa di Petronas Terbuka Malaysia 2026. Terus bangkit, terus melangkah…seluruh rakyat Malaysia sentiasa di belakang kalian berdua,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Sementara itu nada sama turut dilontarkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam hantaran di aplikasi X semalam.
Zafrul berkata kekalahan pasangan negara semalam, bukanlah satu kegagalan sebaliknya tanda Malaysia kembali bersaing di tahap tertinggi.
"Di pentas final, tekanan datang bertubi-tubi. Setiap mata diuji. Setiap kesilapan ada harganya.
"Pasangan kita bertahan, melawan dan tidak mudah menyerah," katanya.
Pada perlawanan akhir acara beregu lelaki Terbuka Malaysia 2026, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tumpas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Sung Jae 15-21, 21-15, 18-21, dalam tempoh 66 minit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


