Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
SUKAN

Aaron-Wooi Yik teruskan cabaran Malaysia di Terbuka Perancis 2025

Bernama 25/10/2025 | 00:30 MYT
Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, meneruskan cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Perancis 2025 selepas menundukkan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani, dalam aksi suku akhir mendebarkan awal pagi ini (waktu Malaysia).

Beregu nombor dua dunia itu berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 21-19, 16-21, 21-19 untuk mara ke separuh akhir, di mana mereka akan berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri, bagi merebut tempat ke final di Arena Glaz.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan terdahulu, Aaron-Wooi Yik tewas kepada Fajar-Shohibul dalam aksi di Terbuka China pada Julai lalu.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mempamer semangat juang tinggi sebelum akur tewas 18-21, 21-14, 10-21 kepada beregu nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Nasib sama menimpa Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani apabila mereka tersingkir selepas tewas kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 14-21, 21-17, 23-25.

Dalam acara beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut terkandas selepas kalah 16-21, 16-21 kepada beregu China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.







-- BERNAMA

#Aaron Chia dan Soh Wooi Yik #Terbuka Perancis #Man Wei Chong-Tee Kai Wun #Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani