ABK22: Arif Aiman JDT sambar tiga gelaran

Sinar Harian
Disember 15, 2022 15:25 MYT
Arif Aiman berkata dia memberikan penghargaan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya. - Gambar/ Stadium Astro
BINTANG muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, terpilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) sebentar tadi.
Pemain berusia 20 tahun itu mempertahankan gelaran yang dimenanginya musim lalu selepas menampilkan persembahan cemerlang dan konsisten sepanjang musim ini.
Arif Aiman menjadi antara tunjang utama kepada kejayaan luar biasa JDT, yang melakar sejarah meraih quadruple dengan menyapu bersih kesemua kejuaraan musim ini, iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Selain memenangi MVP, Arif Aiman, yang meledakkan lapan gol dan 16 bantuan jaringan musim ini, turut mempertahankan dua lagi anugerah, iaitu Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.
Arif Aiman berkata dia memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya.
“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai-pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama musim ini.
“Buat keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya. Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT,” katanya.
SENARAI PEMENANG ABK22
Pemain paling bernilai (MVP): Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)
Penyerang terbaik: Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)
Pemain muda terbaik: Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)
Pertahanan terbaik: Shahrul Saad (JDT)
Pemain tengah terbaik: Afiq Fazail (JDT)
Pemain import terbaik: Bergson da Silva (JDT)
Penjaga gol terbaik: Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC)
Pasukan terbaik: JDT
Jurulatih terbaik: Nafuzi Zain (Terengganu FC)
Gol terbaik: Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC)
Fair play: Petaling Jaya City FC
Kredit: Sinar Harian
#ABK22 #Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 #Arif Aiman Hanapi #JDT