ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menghidupkan peluang ke pusingan kedua apabila menewaskan pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC 2-1 pada aksi keempat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan skuad Harimau Selatan kepada kelab bimbingan Hong Myung Bo, 1-3 pada pertembungan di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu di Ulsan, Korea Selatan pada 24 Okt lepas.

Awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.

Gol pertama Juara Liga Super 2023 JDT hadir pada minit ke-44 menerusi rembatan luar kotak penalti Heberty De Andrade.

Babak kedua menyaksikan gawang JDT bimbingan Esteban Solari bocor apabila Ulsan Hyundai yang merupakan juara edisi 2012 dan 2020 meledak gol menerusi Ataru Esaka pada minit ke-69 perlawanan selepas menerima hantaran daripada Valeri Qazaishvili.

Bagaimanapun, tindakan membawa masuk Akhyar Rashid lima minit sebelum perlawanan tamat membawa tuah apabila sentuhan pertama pemain sayap itu menjelmakan gol kemenangan pada minit ke-86, hasil hantaran Arif Aiman Hanapi.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, pelbagai cubaan dilakukan Ulsan Hyundai untuk menyamakan kedudukan namun tidak menemukan hasil.

Selepas ini, JDT akan berdepan dengan kelab Jepun, Kawasaki Frontale, 28 Nov ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke stadium keramat Harimau Selatan di sini untuk berdepan BG Pathum United dari Thailand, 12 Dis ini.

JDT kini berada di kedudukan ketiga di belakang Ulsan Hyundai dengan masing-masing memperoleh enam mata hasil empat perlawanan namun juara Liga K1 Korea itu mempunyai kelebihan jaringan.

Kumpulan I kini diterajui Kawasaki Frontale dengan 12 mata manakala BG Pathum United di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA