Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan menghantar terus sampel air kencing atlet yang diambil secara rawak pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 ke makmal ujian di India, selang dua hari selepas pertandingan.

Pegawai Belia dan Sukan (Bahagian Pendidikan) Adamas, Norsuhaila Isnin menjelaskan mereka akan mengambil lima sampel secara rawak daripada beberapa sukan tertentu untuk dihantar ke makmal di India.

Beliau berkata kos penghantaran sampel air kencing atlet ke makmal di India lebih murah berbanding di negara jiran, Thailand yang turut mempunyai makmal doping yang mendapat tauliah daripada Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).

"Kita juga akan memberi penekanan mengenai pendidikan tentang penggunaan bahan terlarang kepada atlet negara sebelum bermulanya kedua-dua temasya sukan itu selain program 'Outreach' kepada atlet luar negara yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat doping bersempena Himpunan Atlet Kita Juara Fasa II di Hotel Renaissance, di sini malam semalam.

Hotel berkenaan bakal menjadi penginapan rasmi kontinjen Malaysia semasa Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Mengenai tenaga kerja yang bakal terlibat untuk kedua-dua temasya sukan berkenaan, Norsuhaila memaklumkan jumlah akhir petugas terlibat akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Februari depan.

Beliau berkata petugas terpilih akan menjalani latihan khusus sebelum dibenarkan bertugas bagi memastikan mereka memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Adamas.

"Pegawai baharu dan lama akan menjalani latihan khusus selama enam kali termasuk tiga kali latihan pada awal tahun depan di bawah pegawai kami yang bertauliah.

"Jumlah sebenar pengawai pengiring yang terlibat untuk kedua-dua temasya sukan, bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada permintaan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc)," kata Norsuhaila.

Pegawai pengiring terbabit adalah petugas yang menemani atlet ketika sampel air kencing diambil daripada mereka dalam sesuatu pertandingan mahupun temasya sukan.

Sukan SEA 2017 dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos, manakala Sukan Para ASEAN 2017 dari 17 hingga 23 Sept.

-- BERNAMA