AFC bakal tubuh pasukan petugas pertandingan kelab elit

Bernama
Mac 31, 2022 06:42 MYT
Perkembangan terbaharu itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-9 bagi penggal 2019-2023 di Doha, Qatar yang turut dihadiri Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin. - Facebbok Football Association of Malaysia
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit dianggotai beberapa negara dalam usaha memperkasakan taraf perlawanan dan pertandingan di rantau Asia.
Perkembangan terbaharu itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-9 bagi penggal 2019-2023 di Doha, Qatar yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin yang merupakan ahli jawatankuasa itu optimis langkah tersebut baik bagi membawa pertandingan kelab elit ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam memacu nilai komersial.
"AFC sememangnya sentiasa komited untuk meningkatkan taraf pertandingan dan perlawanan di Asia untuk dimanfaat ahli gabungan agar dapat membawa kejayaan lebih baik sekali gus melakar masa depan lebih cerah," katanya dalam satu hantaran Facebook rasmi FAM, hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung semalam itu dipengerusikan Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa dan turut dihadiri Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John.
Menurut hantaran FAM itu, Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit akan dianggotai Bola sepak Australia, Persatuan Bola Sepak China, Persatuan Bola Sepak Jepun dan Persatuan Bola Sepak Korea bagi wilayah Timur.
Sementara wilayah Barat diwakili ahli dari Persatuan Bola Sepak Qatar, Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu dan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan.
Pasukan Petugas Pertandingan Kelab Elit akan melaporkan cadangan dan kertas kerja kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC dan seterusnya kepada Jawatankuasa Eksekutif dalam beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif AFC juga mengesahkan keputusan Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai AFC untuk meminda Peraturan Pertandingan Piala Asia Futsal AFC 2022 dan Kejohanan Kelab Futsal AFC 2022 dalam mesyuarat sama.
Jawatankuasa itu juga meluluskan cadangan pindaan kepada Statut AFC, yang akan dibentangkan untuk kelulusan pada Kongres AFC ke-32 pada 18 Mei ini.
Dalam pada itu, Hamidin juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres FIFA yang turut diadakan di Doha, hari ini.
-- BERNAMA
#Hamidin Mohd Amin #afc #kelab elit #FAM