SUKAN

AFC harap FAM selesaikan rayuan FIFA sebelum 31 Mac

Bernama 30/10/2025 | 11:00 MYT
Windsor, berkata pihaknya berharap semua proses undang-undang dan rayuan yang dijalankan oleh FAM dapat diselesaikan sebelum 31 Mac tahun depan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui berdepan kesuntukan masa sebelum memulakan semakan disiplin terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, berkata pihaknya berharap semua proses undang-undang dan rayuan yang dijalankan oleh FAM dapat diselesaikan sebelum 31 Mac tahun depan bagi mengelak gangguan terhadap persiapan undian peringkat akhir Piala Asia 2027.

"Bagi kami, terdapat kekangan masa kerana undian akan berlangsung selepas perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia, iaitu pada 31 Mac. Selepas perlawanan terakhir, kami akan mula membuat persiapan untuk undian.

"Jadi bagi undian itu, kami perlu tahu pasukan daripada kumpulan Malaysia yang akan layak. Sebab itu kami berharap semuanya dapat diselesaikan sebelum 31 Mac," katanya selepas sesi bersama media di sini, hari ini.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski kini mendahului Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027 dengan rekod sempurna, memenangi keempat-empat perlawanan termasuk menewaskan pesaing terdekat, Vietnam, 4-0 di sini Jun lepas.

Malaysia kini mendahului kumpulan dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) manakala Nepal berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata. Hanya juara kumpulan akan layak ke peringkat akhir di Arab Saudi yang dijadualkan pada Januari 2027.

Windsor berkata AFC hanya akan memulakan semakan disiplin melalui jawatankuasa disiplin selepas menerima keputusan muktamad daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Selepas keputusan muktamad, sama ada daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA atau CAS, kami akan mengambilnya sebagai keputusan rasmi. Semua bergantung kepada proses rayuan FAM.

"Selepas itu, fail kes akan diserahkan kepada AFC untuk tindakan lanjut mengikut kesan keputusan FIFA terhadap perlawanan AFC. Begitulah cara jawatankuasa disiplin akan meneliti fail kes dan mengenal pasti perkara yang telah dilanggar," katanya.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - didenda oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Akibatnya, FAM didenda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notifikasi keputusan.

Pada 15 Okt lepas, FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung isu berkenaan. Persatuan itu juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara ini ke CAS sekiranya rayuan di peringkat FIFA gagal memberi keputusan positif.

Keputusan rayuan FIFA dijangka diumumkan hari ini.

-- BERNAMA



#FIFA #harimau Malaya #pemain warisan #dokumen palsu