Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery memuji usaha bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar yang menubuhkan akademi skuasy.

Bagi Shabery, pendekatan itu dilihat selaras dengan usaha kementeriannya untuk menghasilkan lebih ramai pemain di peringkat akar umbi.

“Apabila beliau mengumumkan untuk bersara sebagai pemain skuasy profesional dalam negara kita dan tidak lagi mewakili negara, beliau tidak berdiam diri sebaliknya berusaha untuk mengembangkan minat dan kebolehan dalam sukan ini secara meluas,” kata Ahmad Shabery.

Shabery berharap atlet lain akan turut mencontohi Azlan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan negara.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorendum persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Akademi Skuasy Azlan Iskandar (Aisa).

Perjanjian itu memboleh Aisa menerima bantuan tenaga pengajar profesional dan peralatan daripada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) selama tiga tahun.

Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Gan Ping Sieu dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed.