SUKAN

Aksi dominan IFC benam Kelantan TRW 3-0

Bernama 10/01/2026 | 21:30 MYT
Pemain Imigresen FC Eduardo Jose Sosa Vegas meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Negeri Pulau Pinang, 10 Jan 2026. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Imigresen FC (IFC) berjaya meraih kemenangan keempat musim ini apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 3-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, petang tadi.

IFC jelas mendominasi permainan sejak wisel sepak mula dengan tekanan berterusan ke atas kubu pertahanan lawan memaksa Kelantan TRW bertahan hampir sepanjang separuh masa pertama.

Tekanan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila penyerang import berusia 35 tahun dari Colombia, Wilmar Jordan Gil menanduk masuk sepakan penjuru Rafael Iserhard Holstein untuk memecah kebuntuan dan menghadiahkan kelebihan awal kepada IFC.

Kelantan TRW cuba meningkatkan tempo permainan selepas ketinggalan namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal mencabar gawang IFC dengan kedudukan 1-0 kekal hingga rehat.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan kendalian Yusri Che Lah kekal menguasai perlawanan sebelum menggandakan kelebihan menerusi jaringan Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-70 hasil hantaran Elvis Kamsoba.

Malang buat Kelantan TRW apabila usaha mereka untuk bangkit terus direncatkan tiga minit kemudian selepas M. Rakesh tertolak bola ke gawang sendiri ketika cuba menyekat asakan Wilmar, sekali gus menghadiahkan gol ketiga kepada IFC (73')

Kelantan TRW hampir meraih gol saguhati pada minit ke-75 menerusi Albert San Kang, namun jaringan itu dibatalkan selepas bola didapati terlebih dahulu terkena tangan Muhammad Syafiq Ismail di dalam kotak penalti.

Sementara itu, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, menjadi saksi permainan bertenaga Selangor FC yang kini di bawah kendalian ketua jurulatih yang baharu Kim Pan Gon, membenam pasukan tuan rumah DPMM FC 5-2.


Penyerang Selangor Chrigor Moraes muncul wira perlawanan, apabila meledak empat daripada lima gol pasukannya.

Moraes membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kelebihan lima minit kemudian (10') diikuti gol ketiga pada minit ke-58 dan melengkapkan malam gemilangnya pada waktu kecederaan (90+1).

Satu lagi gol Selangor dijaringkan Nooa Laine.

DPMM cuba bangkit menerusi jaringan Hakeme Yazid pada minit ke-42 dan Miguel Oliveira pada minit ke-62, namun dua gol itu tidak mampu menghalang pasukan Gergasi Merah itu daripada mengesahkan kemenangan besar di laman lawan.

Sementara itu, gol jaringan pemain sayap Terengganu Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-85 perlawanan, memastikan kemenangan tipis 1-0 buat pasukannya ke atas PDRM FC.

Gol kemenangan itu terhasil hasil menerusi bantuan sepakan kencang daripada Muhammad Haqimi Azim Rosli di sebelah kanan padang, sekali gus membolehkan Terengganu membawa pulang tiga mata penuh pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


-- BERNAMA




#Liga Super #Imigresen FC #Selangor FC #Terengganu FC