Aksi membanggakan ketika berdepan Kelab La Liga, Barcelona membuktikan persiapan yang dihadapi Skuad Harimau Malaya bukanlah sesuatu yang merugikan kata pengurus Skuad Senior Kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurut Subahan, momentum dari pertemuan dengan Barcelona perlu dikekalkan menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Bahrain, Oktober nanti.

Pada masa sama beliau juga senada dengan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal agar semua pemain mengekalkan fokus masing-masing untuk pertemuan penting itu nanti.

Jelas Subahan lagi pertemuan ini amat bermakna buat skuad negara selepas tertekan akibat pelbagai kritikan yang diterima.

Pemain-pemain membuktikan kecekalan mereka dengan tidak memberikan ruang buat Barcelona untuk menjadikan Malaysia sebagai pasukan belasahan.

Lantas mereka perlu manfaatkan keyakinan yang diperoleh dari perlawanan itu menjelang aksi persahabatan menentang China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum berdepan Bahrain nanti.

Pemain pertahanan Skuad Senior Kebangsaan, K. Reuben berpandangan aksi cemerlang Harimau Malaya menentang Barcelona sebagai jawapan terbaik buat kritikan yang diterima.

Jelasnya lagi setiap pemain telah membuktikan mereka mampu bersaing walaupun berdepan pasukan handalan dunia.

Susulan beberapa keputusan hambar dalam aksi persahabatan sebelum ini skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menerima kecaman pelbagai pihak.

Malah ada yang berpandangan sudah masanya skuad negara dirombak semula.

Namun buat Reuben dia yakin dengan percaturan yang dimiliki Rajagobal menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Bahrain, Oktober depan.

Mengulas mengenai persembahannya pula, Reuben berharap dapat diberikan lebih masa untuk membuktikan kemampuan.

Ketika pertemuan menentang Barcelona pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sekadar dimasukkan sebagai pemain gantian di penghujung babak kedua bagi menggantikan kapten, Safiq Rahim.