SUKAN

Alhamdulillah, Allahuakbar – Ucap Jojo selepas raih kemenangan kelapan

Astro Awani 06/02/2026 | 15:45 MYT
Serangan bertali arus dari Jojo itu mengakibatkan Yint Naung mengalami pendarahan di bahagian muka sekali gus memberi kelebihan jelas kepada atlet negara itu. - Gambar tangkap layar ONE Championship.
KUALA LUMPUR: Petarung Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan kelapan pada pentas ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand hari ini.

Jojo menewaskan wakil Myanmar, Ye Yint Naung, menerusi keputusan sebulat suara juri sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek muda paling menyerlah dalam arena Muay Thai antarabangsa, khususnya bagi kategori flyweight.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada Allah atas segala-galanya,” katanya sejurus selepas tamat perlawanan.

Pada pusingan pertama, kedua-dua petarung dilihat berhati-hati dengan pertukaran pukulan minimum selama tiga minit awal perlawanan namun pada pusingan kedua, Jojo mula tingkatkan tempo perlawanan secara agresif dan berjaya memecahkan pertahanan lawannya.

Serangan bertali arus dari Jojo itu mengakibatkan Yint Naung mengalami pendarahan di bahagian muka sekali gus memberi kelebihan jelas kepada atlet negara itu.

Pada pusingan ketiga, Jojo terus mendominasi perlawanan dengan tekanan berterusan tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan untuk bangkit.

Aksi bertenaga atlet berusia 19 tahun itu membolehkannya mengekalkan kawalan sepenuhnya sehingga loceng penamat dibunyikan.

Pada masa sama, Jojo menyatakan hasrat untuk tidak menyertai sebarang perlawanan sepanjang bulan Ramadan, namun tetap terbuka sekiranya terdapat pihak yang ingin mencabarnya selepas tempoh tersebut.

“Kebanyakan petarung ini bukan siapa-siapa, mereka tidak mempunyai daya tarikan dan mereka tahu apabila menandatangani pertarungan dengan Johan Ghazali, mereka akan mendapat 15 minit kemasyhuran.

“Anda tahu apa yang saya mahu katakan? Hakikatnya, setiap seorang daripada anda boleh mendapatkan giliran, beratur di belakang (untuk bertarung), kerana Jojo akan terus berada di sini. Allahuakbar, Alhamdulillah,” katanya lagi.


#Jojo #Muaythai #ONE Friday Fights 141 #daya tarikan