SUKAN

Al-Hilal dalam perancangan bertemu bapa Lionel Messi

Astro Arena 29/06/2025 | 00:15 MYT
Al-Hial, kelab terbesar dan paling terkenal di Arab Saudi, merancang untuk bertemu bapa dan ejen Lionel Messi untuk membincangkan kemungkinan membawanya ke Liga Pro Saudi. - Gambar Reuters
AL-HILAL, kelab terbesar dan paling terkenal di Arab Saudi, merancang untuk bertemu bapa dan ejen Lionel Messi untuk membincangkan kemungkinan membawanya ke Liga Pro Saudi.
Ketika Messi terus menyerlah bakatnya dengan mengetuai Inter Miami melalui peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab FIFA 2025, masa depan bintang Argentina itu kekal menjadi topik hangat, dengan langkah berpotensi untuk menggegarkan dunia bola sepak.
Menurut akhbar Saudi Al-Midan Sports, Fahd bin Nafel, Presiden Al-Hilal, kini berada di Amerika Syarikat (AS) dan dijangka bertemu secara tertutup dengan Jorge, bapa dan ejen Messi dalam beberapa hari akan datang.
Objektif utama pertemuan itu adalah untuk meneroka kemungkinan membawa Messi ke Arab Saudi pada musim panas ini.
Sumber dari media Arab mengesahkan pertemuan yang dirancang itu bukan sekadar khabar angin tetapi perbincangan serius.
Kelab itu melihat Messi sebagai 'penambahan atau peningkatan yang menarik' kepada cita-cita mereka untuk menjadi kuasa global, menyaingi gergasi Eropah dalam kepakaran bola sepak dan daya tarikan media, lapor Gazeta Express.
Walaupun Messi kekal fokus pada kontrak semasanya bersama Inter Miami, masa depannya tidak menentu.
Kontraknya dengan kelab Amerika itu tamat pada Disember 2025, dan Al-Hilal melihat ini sebagai peluang 'sekali dalam seumur hidup' untuk menandatangani salah satu nama terbesar dalam bola sepak.
Pada usia 38 tahun, Messi terus beraksi pada tahap tinggi di AS.
Sejak menyertai Inter Miami pada musim panas 2023, dia telah menjaringkan 50 gol dan memberikan 24 bantuan jaringan dalam 60 perlawanan, membantu kelab itu memperoleh gelaran pertama mereka.
Untuk menandatangani Messi, Al-Hilal mungkin perlu membuat tawaran yang memecahkan rekod, mungkin melebihi gaji Cristiano Ronaldo sebanyak Euro 200 juta (RM991 juta) setiap musim. - Stadium Astro
#Lionel Messi #Al-Hilal #Liga Pro Saudi #Fahd bin Nafel