SUKAN

Amarjit dipilih Naib Presiden UCI pertama dari Malaysia

Astro Arena 26/09/2025 | 07:30 MYT
Pemilihan Amarjit menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama dalam sejarah menduduki jawatan tertinggi itu dalam badan induk berbasikal dunia berkenaan. - Stadium Astro
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam Kongres UCI kali ke-194 di Kigali, Rwanda semalam.


Ringkasan AI
  • Amarjit Singh Gill cipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama dipilih Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Kongres UCI ke-194 di Kigali, Rwanda.
  • Pemilihan penggal 2025-2029 turut menyaksikan Enrico Della Casa (Itali), Katerina Nash (Republik Czech) dan Jos Manuel Pelaez (Cuba) dilantik; Presiden UCI David Lappartient kekal untuk penggal ketiga.
  • Amarjit tekad majukan berbasikal Asia, menyifatkan pemilihan ini sebagai pengiktirafan global terhadap peranan Asia dan komitmen untuk pembangunan sukan berbasikal dunia.


Pemilihan ini menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama dalam sejarah menduduki jawatan tertinggi itu dalam badan induk berbasikal dunia berkenaan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Selain Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash dari Republik Czech dan José Manuel Pelaez dari Cuba.

Presiden UCI, David Lappartient, dari Perancis pula mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga berturut-turut selepas menang tanpa bertanding.

Kongres yang dihadiri oleh 132 perwakilan Persekutuan Kebangsaan (National Federations) ini turut disaksikan oleh Presiden Rwanda, Paul Kagame, di mana Rwanda telah menjadi negara Afrika pertama menganjurkan 2025 UCI Road World Championships -- satu detik bersejarah bagi benua Afrika dan UCI yang kini memasuki usia 125 tahun.

Amarjit, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), sebelum ini telah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak tahun 2017.

Bapanya, Tan Sri Darshan Singh Gill, juga telah pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI dari tahun 1996 sehingga 2005.

Amarjit percaya pemilihan itu akan menjadi batu loncatan kepada perkembangan berbasikal Asia di pentas global dan menyentuh tentang kejayaan berkenaan, Amarjit berkata adalah satu penghormatan mendalam apabila dia dipilih sebagai Naib Presiden pertama UCI dari Malaysia.

Dia turut menegaskan bahawa ia bukan sahaja pencapaian peribadi, malah sebagai pengiktirafan perwakilan terhadap peranan Asia yang semakin penting dalam membentuk masa depan berbasikal dunia.

“Pemilihan ini adalah bukti kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan dalam komuniti berbasikal global, dan saya dedikasikan kejayaan ini demi melayani keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, inklusiviti dan visi.

"Saya berkomitmen tinggi untuk bekerjasama dengan Presiden UCI, David Lappartient, dan rakan-rakan sejawatan bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua,” ujar beliau.

Presiden UCI, David Lappartient, turut mengalu-alukan pemilihan Amarjit sebagai Naib Presiden UCI dengan menyatakan bahawa dia membawa pengalaman luas sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia serta visi progresif untuk pembangunan berbasikal dunia. -- Stadium Astro




#Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #Amarjit Singh Gill #mencipta sejarah #Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa