APG 2022: Sasaran 35 pingat dicapai, Malaysia tetap buru pingat esok

Bernama
Oktober 27, 2023 15:16 MYT
Malaysia sudah boleh mendabik dada dengan pencapaian kontinjen negara setelah berjaya mencapai sasaran 35 pingat, namun perjuangan diteruskan. - Bernama
HANGZHOU: Malaysia sudah boleh mendabik dada dengan pencapaian kontinjen negara setelah berjaya mencapai sasaran 35 pingat ditetapkan berbaki sehari sahaja lagi sebelum temasya Sukan Para Asia (APG) 2022 melabuhkan tirainya esok.
Atlet 'istimewa' negara tidak berdepan masalah untuk merealisasikan sasaran itu bahkan telah melebihi ketetapan dibuat setelah merangkul tujuh emas, 15 perak dan 16 gangsa iaitu 38 pingat secara keseluruhan selepas berakhirnya hari kelima temasya.
Kontinjen negara yang diketuai KM Rajendran cemerlang apabila menambah masing-masing tiga perak dan gangsa hari ini.
Skuad berbasikal terus menyumbang masing-masing satu perak dan gangsa menerusi acara lebuh raya.
Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Shuhada Zainal (jurumudi) dalam acara 69 kilometer (km) wanita B meraih pingat perak manakala Muhammad Adi Raimie Amizazahan menyumbang gangs adalam acara 52.2km lelaki C1-C3.
Kem badminton yang sudah menjanjikan pingat apabila dua wakil perseorangan lelaki negara Cheah Liek Hao (SU5-kecacatan fizikal) dan Mohd Amin Burhanuddin (SL4-kecacatan fizikal) mara ke pentas final hari ini turut cemerlang apabila masing-masing menambah satu perak di Gimnasium Binjiang.
Pingat gangsa pula diperoleh masing-masing daripada sukan powerlifting menerusi Nicodemus Manggoi Moses dalam acara 97 kilogram (kg) dan boling padang menerusi gandingan Haszely Elias-Jariah Zakaria dalam acara pairs campuran B7.
Kontinjen negara meneruskan pemburuan pingat pada hari terakhir temasya APG 2022 dengan tumpuan pastinya terarah kepada kem olahraga sebelum majlis penutup berlangsung.
-- BERNAMA
#sasaran pingat #kontinjen negara #Sukan Para Asia #APG 2022