APG kembali dianjurkan di Nakhon Ratchasima selepas 18 tahun

Nakhon Ratchasima kembali menjadi tumpuan selepas 18 tahun apabila APG 2025 dirasmikan di Kompleks Sukan His Majesty the King's 80th Birthday Anniversary 5 December 2007 malam tadi. --fotoBERNAMA
NAKHON RATCHASIMA (Thailand): Nakhon Ratchasima kembali menjadi tumpuan selepas 18 tahun apabila Sukan Para ASEAN (APG) 2025 dirasmikan di kompleks sukan His Majesty the King's 80th Birthday Anniversary 5 December 2007, di sini malam tadi.
Ringkasan AI
- Sukan Para ASEAN (APG) 2025 dirasmikan semula di Nakhon Ratchasima selepas 18 tahun, menarik perhatian melalui persembahan seni, teknologi laser, dan pertunjukan bunga api.
- Kontinjen daripada 10 negara termasuk Malaysia menyertai perarakan pembukaan, dengan setiap negara diwakili kira-kira 50 atlet dan pegawai.
- Presiden APSF menegaskan APG 2025 bukan hanya acara sukan, tetapi platform untuk memperkukuh pembangunan sukan para dan kerjasama serantau dalam memperjuangkan hak serta pengiktirafan atlet para.
Acara diteruskan dengan tayangan video atlet sebelum perarakan kontinjen bermula, yang menyaksikan pasukan daripada 10 negara melangkah memasuki stadium.
Perarakan dimulakan oleh tuan rumah bersama simbol rasmi pertandingan diikuti perarakan maskot temasya, dan disusuli kontinjen Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor-Leste dan Vietnam.
Setiap negara yang bertanding masing-masing diwakili kira-kira 50 atlet dan pegawai.
Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen (CDM) Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, manakala pemain badminton negara Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi (SH6 - kecacatan fizikal) diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Major General Osoth Bhavilai dalam ucapan perasmian berkata temasya itu bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform penting memperkukuh pembangunan sukan para serta kerjasama serantau dalam memperjuangkan hak dan pengiktirafan atlet para.
Upacara menaikkan bendera Thailand serta bendera APSF dan APG berlangsung penuh istiadat disusuli lafaz ikrar oleh wakil atlet, pengadil dan jurulatih sebagai simbol komitmen terhadap integriti dan semangat kesukanan.
Detik kemuncak menyaksikan perarakan obor sebelum wakil atlet membawa obor dan menyalakan kawah api disambut dengan pertunjukan bunga api sebagai menandakan bermulanya secara rasmi temasya dwitahunan itu.
APG 2025 dijadual berlangsung bermula hari ini hingga 26 Jan, menampilkan 19 jenis sukan yang dipertandingkan di beberapa venue sekitar wilayah Nakhon Ratchasima, dengan tenpin boling menjadi satu-satunya acara yang berlangsung di Bangkok.
Bagaimanapun, temasya kali ini menyaksikan pengunduran Kemboja yang disahkan menerusi kenyataan media pada 10 Jan lepas, susulan pemberitahuan rasmi oleh Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Kemboja kepada APSF.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


