KUALA LUMPUR: Kejohanan NeptuneX113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) yang bakal berlangsung di Tasik Putrajaya pada 4 Feb akan menjadi platfrom buat atlet kebangsaan merebut tempat mewakili negara pada Sukan SEA di Kemboja, Mei tahun depan.

Presiden Persatuan Triathlon Malaysia (MTA) Tony Tan berkata proses kelayakan pada kejohanan NX113 mengambil kira catatan masa dan tertakluk kepada segala kriteria ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum layak mewakili Malaysia sekali gus membuat penampilan sulung dalam acara aquathlon.

"Di Malaysia, aquathlon sering dibayangi 'adik-beradiknya', duathlon dan triathlon.

"Kami berharap melalui penganjuran acara ini dapat meningkatkan populariti sukan ini terutama dengan menjadikan ia perlumbaan kelayakan ke Sukan SEA.

"Dengan penampilan sulung di Sukan SEA, kita yakin ia satu permulaan baik untuk sukan aquathlon yang mempunyai potensi begitu besar untuk diperkembang, dan ia perlu bermula dari akar umbi.

"Pesanan saya untuk semua pelumba... Berlumba dengan selamat, berlumba dengan baik dan berseronok," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Atlet yang berminat untuk mewakili negara di pentas Sukan SEA tidak boleh melepaskan peluang menguji kehebatan diri masing-masing dalam kategori Elit NX113, menyaksikan para peserta perlu berenang sejauh 500 meter dan disusuli larian 2.5 kilometer.

Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam NX113 Aquathlon boleh mendaftar menerusi [email protected] dengan tawaran yuran pendaftaran awal bermula RM160 (Super Sprint/Elit), RM290 (Standard) dan RM220 (Sprint).

NX113 Aquathlon dianjurkan bersempena Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) berlangsung pada 2 hingga 4 Feb depan dan mempertandingan tiga kategori iaitu 5km, 10km maraton dan acara berganti-ganti 4 x 1.5km.

-- BERNAMA