KUALA LUMPUR: Arena bola sepak negara perlu diberi nafas baharu sekali gus diperkasakan semula susulan pandemik COVID-19.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin di Bangunan Perdana Putra pada Khamis.

Muhyiddin berkongsi mengenai kunjungan itu di laman Facebook, turut akui bahawa pandemik COVID-19 jelas beri kesan terhadap perkembangan dan aktiviti sukan nombor satu negara itu ketika ini.

Beliau malah turut menegaskan, bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia di bawah seliaan FAM.

“Ia sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu di pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan operator sukan berkaitan.

“Dalam pada itu, kerajaan mengambil maklum mengenai langkah-langkah yang diambil FAM dalam memastikan Liga Malaysia yang dijadual bermula Mac ini,” jelas beliau.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Hamidin kerana dipilih semula selaku Presiden FAM untuk penggal 2021-2025 dan yakin dengan pengalaman yang ada.

Beliau turut tertarik dengan perkongsian Hamidin mengenai agenda terkini dan hala tuju perkembangan bola sepak tempatan yang direncana FAM.

"Antaranya saingan Liga Malaysia dan persiapan pasukan kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

"Saya berharap agar FAM di bawah kepimpinan Hamidin dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China," tambah Muhyiddin. 

Sementara itu, Hamidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting dalam menentukan masa depan bola sepak negara di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

"Kami membentangkan dengan lebih terperinci mengenai status terkini pasukan kebangsaan serta kalendar perlawanan Harimau Malaya untuk 2021.

"Dalam pada itu, kami turut membentangkan mengenai status Liga Malaysia berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan pandemik COVID-19.

"Kami juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif COVID-19,” kata Hamidin.

Turut dibincangkan kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan bola sepak dan futsal juga akademi bola sepak yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hamidin yang diiringi oleh Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Hamidin juga menjelaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa membantu dalam mendukung usaha membangunkan dan kelangsungan industri bola sepak.

Sementara menunggu sepak mula Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan pada 5 Mac nanti selepas menerima kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan hasil perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kelab-kelab kini dibenarkan menjalani latihan mengikut model gelembung sukan dengan pematuhan SOP yang ketat.