SUKAN
Arsenal: Mosquera isi tempat Tomiyasu

Mosquera merupakan pemain kelima menyertai Arsenal musim ini selepas Martin Zubimendi, Kepa Arrizabalaga, Christian Norgaard dan Noni Madueke. - Foto Arsenal FC/Sinar Harian
ARSENAL melengkapkan perpindahan pertahanan muda Valencia, Cristhian Mosquera, dengan bayaran permulaan sekitar €15 juta (RM740 juta), sekali gus memperkukuh barisan pertahanan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mosquera, 21, menandatangani kontrak lima tahun bersama The Gunners dengan pilihan lanjutan setahun dan dijangka menggantikan tempat Takehiro Tomiyasu yang sebelum ini bersetuju menamatkan kontraknya secara bersama.
Pemain pertahanan Sepanyol Bawah 21 Tahun (B-21) itu boleh beraksi di posisi bek tengah dan bek kanan, memberikan lebih banyak pilihan taktikal buat pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
“Saya tidak boleh lepaskan peluang ini. Saya tiba di kelab yang besar dan bersejarah. Apabila tiba bersama keluarga, saya benar-benar merasai kehebatannya.“Karier saya berkembang lebih pantas daripada jangkaan dan saya perlu matang lebih awal. Perpindahan ini membuka ruang untuk saya terus belajar dan berkembang,” kata Mosquera.
Mosquera menyertai Akademi Valencia pada usia 12 tahun pada 2016, sebelum melakukan penampilan sulung bersama skuad utama pada 2022 dan mencipta sejarah sebagai pemain pertahanan tengah termuda yang beraksi untuk kelab itu.
Musim lalu, beliau membuat 37 penampilan penuh daripada 38 perlawanan La Liga, membantu Valencia menamatkan saingan di tangga ke-12.
Arteta menyifatkan Mosquera sebagai pemain bertalent besar dan memiliki potensi luar biasa, manakala Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta turut memuji pemain muda itu.
“Kami mengenal pasti Mosquera sebagai salah seorang pertahanan muda terbaik di Eropah. Beliau adalah tambahan penting untuk jangka panjang pasukan ini.
“Dia juga pemain serba boleh yang akan memperkukuh skuad kami,” jelas Berta.
Mosquera merupakan pemain kelima menyertai Arsenal musim ini selepas Martin Zubimendi, Kepa Arrizabalaga, Christian Norgaard dan Noni Madueke, manakala Viktor Gyokeres turut dilaporkan hampir menyertai kelab utara London itu.
Mosquera kini dijadual menyertai kem pramusim Arsenal di Asia selepas mendapat kebenaran daripada Valencia untuk berlepas sebelum urusan perpindahan dimuktamadkan.
Arsenal menewaskan AC Milan 1-0 di Stadium Nasional, Singapura, dan akan bertemu Newcastle United di venue sama sebelum menamatkan siri jelajah Asia dengan aksi menentang Tottenham Hotspur di Hong Kong. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami