ASN 2021: Buda Anchah tidak sangka tersenarai rebut anugerah Olahragawan Kebangsaan

Astro Arena
Januari 21, 2023 21:45 MYT
Buda telah mengharumkan negara dengan pencapaiannya dalam pelbagai kejohanan sebelum ini. - Stadium Astro
SELEPAS 30 tahun menceburi sukan bina badan, Buda Anchah tidak sangka akan tersenarai dalam perebutan gelaran Olahragawan Kebangsaan menjelang Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 hujung bulan ini.
Mengakui bidang yang diceburinya bukan sukan teras di negara ini, Buda, yang telah mengharumkan negara dengan pencapaiannya dalam pelbagai kejohanan, kini mampu berdiri sebaris dengan nama besar seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, dan beregu lelaki juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi yik.
"Sebenarnya saya agak terkejut dan rasa gembira kerana dapat dicalonkan untuk ASN," katanya kepada Astro Arena.
"Ini merupakan pencalonan pertama sepanjang karier saya dalam sukan bina badan.
"Untuk menang itu memang agak sukar sedikit kerana kita tahu Datuk (Azizulhasni) bertaraf Sukan Olimpik dan saya pula dalam Kejohanan Dunia Bina Badan.
"Jadi terpulang kepada panel untuk menilainya," katanya. -Stadium Astro
#Olahragawan Kebangsaan #Buda Anchah #ASN 2021 #bina badan