SPORTS

ASN 2024: Zii Jia, Nor Farah Ain antara calon Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan

Bernama 12/05/2025 | 10:45 MYT
Lee Zii Jia dan Nor Farah Ain Abdullah antara atlet yang disenarai pendek untuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia dan jaguh boling padang Nor Farah Ain Abdullah antara atlet yang disenarai pendek bagi merebut Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, esok.

Ringkasan AI
  • Lee Zii Jia dan Nor Farah Ain Abdullah antara atlet yang disenarai pendek untuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.
  • MSN menyenaraikan calon berdasarkan pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa sepanjang 2024.
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka hadir ke majlis ASN 2024 di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan atlet wushu Wong Weng Soon, badang negara Mohamad Aniq Kasdan, juara beregu lelaki Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet pencak silat Abdul Latif Maxzakir turut disenarai bagi calon Olahragawan Kebangsaan.
Bagi saingan Olahragawati Kebangsaan, empat lagi atlet disenarai pendek iaitu Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).
"Jawatankuasa Pemilihan ASN 2024 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Nagulendran Kangayatkarasu menerima 148 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)," menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan calon-calon yang disenarai pendek adalah berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang 2024.
Sementara itu, bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengetuai pencalonan diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Liek Hou (para badminton).
Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula adalah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (para boling padang) dan Noor Imanina Idris (para olahraga).
Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.
"ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.
"ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan," menurut kenyataan itu.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka berangkat ke Majlis ASN 2024 yang akan diadakan esok di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya.
-- BERNAMA
#Olahragawan Kebangsaan #Olahragawati Kebangsaan #Lee Zii Jia #Nor Farah Ain Abdullah