2014 adalah tahun yang amat dinantikan peminat sukan bola sepak di seluruh dunia.

Ini kerana kejohanan bola sepak Piala Dunia akan berlangsung mulai 12 Jun sehingga 13 Julai di Brazil.

Seperti edisi sebelumnya, 32 pasukan terbaik dari seluruh dunia bakal berentap merebut trofi berprestij tersebut, dan tumpuan sudah semestinya terarah kepada juara 2010, Sepanyol yang turun selaku pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.

Juara dunia lima kali Brazil juga enggan berputih mata dan kelebihan beraksi di laman sendiri, sudah pasti membuatkan pasukan kendalian Luiz Felipe Scolari bersemangat tinggi untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong mereka.

Selain Sepanyol dan Brazil, juara tiga kali Jerman, juara dua kali Argentina dan Uruguay, Colombia, Belgium serta Switzerland turut disebut-sebut sebagai enam pasukan pilihan.

Kejohanan Piala Dunia 2014 buat pertama kali bakal menyaksikan penggunaan teknologi garisan gol yang akan diguna pakai sepanjang kejohanan.

Dalam pada itu, Astro seperti biasa dipilih sebagai penyiar rasmi 64 perlawanan Piala Dunia secara langsung menerusi 10 saluran sukan di Malaysia dan Brunei.

Lima saluran akan menyiarakan perlawanan dalam definisi tinggi atau HD manakala selebihnya SD.

Peminat turut boleh menonton perlawanan menerusi aplikasi Astro-On-the-Go.