SUKAN

Audi perkenalkan kereta perlumbaan untuk musim debut F1

Bernama 21/01/2026 | 08:30 MYT
Jentera R26 itu menampilkan hiasan luaran titanium, gentian karbon dan merah lava yang menyerlah, yang pertama kali diperlihatkan dalam majlis pelancaran di Munich pada November lalu. - Gambar/ Reuters
BERLIN: Audi memperkenalkan jentera pertama mereka bagi mengharungi musim debut Formula Satu (F1) dalam satu majlis pelancaran di Berlin pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman.

Pengeluar kereta dari Jerman itu memasuki sukan berprestij tersebut sebagai pasukan pengeluar selepas mengambil alih pasukan Switzerland, Sauber, yang bertanding dalam F1 selama beberapa dekad.

Audi akan membuat penampilan sulung Grand Prix di Australia dengan jentera yang dikuasakan oleh unit kuasa F1 pertama mereka.

Jentera R26 itu menampilkan hiasan luaran titanium, gentian karbon dan merah lava yang menyerlah, yang pertama kali diperlihatkan dalam majlis pelancaran di Munich pada November lalu.

"Hari ini bukan sekadar pelancaran; ia menandakan deklarasi awam era baharu bagi Audi. F1 ialah pentas paling mencabar dalam dunia sukan permotoran dan kami berada di sini bukan sekadar untuk bersaing, tetapi untuk mentakrifkan masa depan 'Vorsprung durch Technik' (kemajuan melalui teknologi)," kata Ketua Pegawai Eksekutif Audi Gernot Dollner.

Bagi barisan pelumba, Audi akan menampilkan Nico Hulkenberg dan Gabriel Bortoleto, yang berlumba bersama musim lalu untuk pasukan ketika itu dikenali sebagai Kick Sauber.

"Kami adalah pasukan pengeluar sejati dengan visi jangka panjang yang jelas, disokong oleh sumber yang besar serta kepakaran bertaraf dunia. Bagi seorang pemandu, peluang untuk bersama Audi sejak awal perjalanan ini amat mengujakan," kata Hulkenberg.

Ketua pasukan Jonathan Wheatley, yang menyertai pasukan itu selepas hampir dua dekad bersama Red Bull berkata:

"Kereta ini adalah manifestasi fizikal kepada ribuan jam kerja keras oleh sekumpulan individu yang sangat berbakat di seluruh fasiliti kami.

"Kami akan menterjemahkan cita-cita jangka panjang kami kepada realiti di litar, hari demi hari, keputusan demi keputusan."

Musim perlumbaan bermula pada 8 Mac di Australia. Sebelum itu, Bahrain akan menjadi tuan rumah ujian pramusim rasmi pada 11-13 Feb dan 18-20 Feb.

-- BERNAMA


#Audi #F1 #Formula One #sauber